
KUCHING: “Tunggu bulan dua (Februari) kalau ada… ada, kalau tak…tak.”
Itu jawapan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditanya sama ada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berlaku tidak lama lagi.
Premier Sarawak dipercayai merujuk kepada Februari 2027 iaitu tempoh tamat DUN ke-22.
Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, Pilihan Raya Negeri (PRNh boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027 tetapi ramalan popular ialah pada November/Disember ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata perkara berkaitan pembubaran DUN akan berlaku apabila sampai masanya.
“Mana saya tahu kalau sudah hujungnya sampai maka sampailah. Belum bulan Februari, apa nak disibuk sangat,” tambahnya.
Ditanya sama ada pembubaran DUN akan berlaku tidak lama lagi, beliau berkata keputusan mengenainya masih belum diketahui.
“Tunggu bulan dua (Februari), kalau ada ada, kalau tak tak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Agihan Pendapatan Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini hari ini.
Abang Johari bagaimanapun berkata, beliau belum memikirkan soal pilihan raya kerana kini lebih memberi tumpuan kepada usaha mencari jalan bagi membolehkan rakyat menikmati lebih banyak manfaat daripada pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, fokusnya ketika ini adalah memastikan rakyat dapat bersama-sama mengambil peluang daripada pembangunan Sarawak yang sedang berkembang rancak.
“Saya tak nak fikir pilihan raya dulu. Saya sedang berfikir macam mana nak bagi duit banyak dengan rakyat.”Rakyat dapat bersama-sama dalam pembangunan kita yang rancak ini. Jadi fikiran saya belum lagi masuk pilihan raya,” katanya.
Ditanya mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor baru-baru ini serta kemungkinan perkembangan itu memberi tekanan atau mempengaruhi keputusan berkaitan pilihan raya di Sarawak, Abang Johari berkata perkara tersebut terpulang kepada pihak berkenaan.
“Itu terpulang kepada mereka, kita dengan kita sendiri,” jelasnya.
BN adalah sebuah gabungan parti politik didominasi oleh UMNO, MCA dan MIC bersama beberapa parti komponen lain seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Pada PRN Johor baru-baru ini, BN merekodkan kemenangan bergaya di 48 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menang baki lapan kerusi.
Pada Jun 2018, empat parti tempatan Sarawak mengumumkan keluar BN untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).Parti terbabit ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Oleh Masrin Affirah


