
KUCHING: Perundingan mengenai pemulangan semula satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah hanyalah satu proses formaliti semata-mata, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Ibrahim Baki.
Beliau, berkata tuntutan tersebut sudahpun menjadi hak perlembagaan yang termaktub melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Sebelum pembentukan Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah menjanjikan bahawa Sarawak dan Sabah akan diberi satu pertiga perwakilan di Parlimen.
“Perkara ini telah dilaksanakan dan menjadi satu bentuk perlindungan dalam Perlembagaan – undang-undang tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan kita.
“Selepas Singapura keluar dari Persekutuan, perlindungan ini sepatutnya dikekalkan.
“Jadi, tidak timbul soal perundingan sama ada kita boleh mendapat semula kerusi ini. Ia bukan isu rundingan, tetapi kewajipan perlembagaan.
“Ia mesti diberikan kepada kita, dan kita wajib menuntut hak tersebut. Rundingan hanyalah proses pentadbiran atau formaliti.
“Apa yang telah termaktub dalam MA63 dan IGC wajib dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ibrahim Baki, yang juga Timbalan Menteri Utiliti (Tenaga Sarawak dan PETROS), berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Zon 3 PBB Satok yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.
Tambahnya, perjuangan menuntut semula hak Sarawak adalah teras kepada agenda PBB dan akan terus diperjuangkannya selaras dengan kedudukannya yang baharu dalam parti.
“Dengan jawatan yang lebih tinggi datangnya tanggungjawab yang lebih besar. Saya yakin dapat memikul amanah ini dengan sokongan anda semua, warga PBB Satok.
“Di Satok, kita bekerja sebagai satu pasukan dan bersama-sama memastikan perjuangan untuk mempertahankan hak Sarawak diteruskan – hak yang telah terhakis sama ada secara sengaja atau tidak,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ibrahim Baki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok turut mengumumkan pelbagai projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasannya.
“Projek tebing sungai dari Bintangor akan dilanjutkan sehingga ke Kampung Kudei Lama. Saya telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat berkenaan dan dijangka kerja pembinaan akan bermula pada hujung tahun ini.
“Untuk Kampung Kudei Baru, satu projek tembok penahan telah diluluskan bagi menangani ancaman buaya yang semakin meningkat di kawasan tersebut.
“Penduduk memohon peruntukan kerana buaya sering kelihatan berkeliaran di bawah rumah mereka. Populasi ‘Bujang Senang’ semakin bertambah di Kudei Baru. Saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk projek tersebut,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah surau baharu untuk Kampung Kudei Baru Ulu kini dalam perancangan, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 juta.
“Paip air juga telah dinaik taraf kepada saiz yang lebih besar, jalan-jalan telah diperbaiki dan sebuah pintu gerbang telah didirikan.
“Dari segi pembangunan, kita akan sibuk kerana bukan sahaja projek besar dilaksanakan, tetapi juga projek-projek kecil demi keselesaan rakyat,” tambahnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isterinya, Datin Noor Akmar Hamdan, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Hilmy Othman, Setiausaha Politik kepada Premier Abdul Samat Gany, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Irwan Zulkarnain Hasbie, serta Pengerusi Penganjur Sarbini Abang yang juga Setiausaha PBB Satok.