KUCHING: Sarawak merekodkan satu lagi kes kematian baharu akibat Covid-19 semalam yang melibatkan seorang pensyarah lelaki berusia 40 tahun bertugas di Kota Samarahan menjadikan keseluruhan jumlah korban virus itu di Sarawak sebanyak lapan orang.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, mangsa meninggal di Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.
“Manakala dua kematian pada Isnin yang melibatkan lelaki berusia 47 tahun di Kuching dan wanita berusia 41 tahun di Miri masih disiasat.
“Sementara itu, Sarawak mencatakan 21 kes positif baharu Covid-19 hari ini (semalam) menjadikan ia tertinggi pernah direkodkan sehari dan jumlah keseluruhan 135 kes positif di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkenaan Covid-19 di sini, semalam.
Sementara itu dalam sidang media berasingan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Kuala Lumpur semalam mendedahkan mangsa adalah kes kematian ke-41 negara (kes ke-1275) telah dirawat di HUS pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac pada jam 1.38 pagi.
Menurut Sim, Sarawak kini mempunyai beberapa kluster baharu di samping lima yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan termasuk merekodkan dari negara London, Scotland dan Belanda.
“Salah satu sebab mengapa peningkatan mendadak positif Covid-19 adalah semakin ramai yang datang melakukan saringan dengan kebanyakan kes adalah dari pusat pemeriksaan dari Kompleks Belia dan Sukan Sarawak.
“Kita juga telah meningkatkan keupayaan ujian Polymerase Chain Reaction atau (PCR) dan ini menjelaskan mengapa kita telah mengesan lebih banyak kes positif.
“Selain itu, UNIMAS juga kini membantu HUS dalam melakukan ujian PCR, manakala Hospital Sibu sejak semalam telah memulakan ujian PCRnya.
“Sekarang kita sedang dalam proses mendapatkan Hospital Miri dan Bintulu untuk membangunkan kapasiti mereka dalam melakukan ujian serupa,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai yang mempunyai kontek biasa atau rapat dengan sesiapa sahaja dari semua kumpulan positif Covid-19 atau telah pergi mengembara ke negara-negara yang dijangkiti pada pertengahan Februari tahun ini untuk segera tampil melakukan pemeriksaan.
Tambahnya, semalam Sarawak turut merekodkan 46 kes orang yang disyaki (PUI) dan sejak Isnin, searami 93 pesakit masih berada di beberapa hospital di seluruh negeri.
“Kita mempunyai sembilan orang pesakit Covid-19 yang berada di unit penjagaan intensif (ICU) dengan lapan berada di Hospital Umum Sarawak dan seorang lagi di Hospital Sibu. “Setakat ini, 14 pesakit telah sembut dan discaj dari hospital dengan sembilan adalah dari HUS, empat dari Hospital Sibu dan seorang dari Hospital Miri,” tambahnya lagi.