
KUCHING: Program Keselamatan Penerbangan Sarawak (SASP) 2026 muncul sebagai platform utama untuk memperkukuh keselamatan penerbangan, penjajaran kawal selia dan kerjasama industri, ketika pihak berkepentingan berkumpul bagi menangani cabaran dalam sektor penerbangan Malaysia yang semakin berkembang.
Dianjur bersama oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Miri hari ini, program tersebut yang diterajui Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menekankan kepentingan pendekatan bersepadu antara pihak berkuasa Persekutuan dan negeri dalam membentuk ekosistem penerbangan yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.
CAAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program tersebut yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin menekankan perbincangan utama termasuk topik ‘Masa Depan Ekonomi Altitud Rendah di Malaysia: Sejauh Mana Kita Bersedia?’
“Forum tersebut meneliti tahap kesiapsiagaan negara dalam menguruskan segmen penerbangan yang sedang berkembang. Perbincangan tertumpu kepada kesediaan kawal selia, kerumitan operasi serta integrasi teknologi baharu ke dalam sistem ruang udara sedia ada,” menurut kenyataan itu.
CAAM memaklumkan forum tersebut menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia dan pakar industri, mencerminkan komitmen bersama untuk mempertingkatkan pengawasan keselamatan, menyelaraskan dasar serta menyokong pertumbuhan mampan dalam sektor penerbangan.
Sementara itu, CAAM bersama pakar-pakarnya, berkongsi pandangan mengenai rangka kerja peraturan, keutamaan keselamatan dan penyelarasan rentas sektor serta menegaskan komitmennya untuk memudahkan dialog yang terancang dan membimbing industri melalui tempoh transformasi pesat.
“Kami menekankan transformasi berterusan dalam industri, dipacu oleh teknologi baharu, pengguna ruang udara baharu serta model operasi yang berkembang. Perkembangan seperti Ekonomi Altitud Rendah (LAE) diiktiraf dalam konteks yang lebih luas, dengan penekanan kepada memastikan inovasi diperkenalkan secara selamat, teratur dan mampan.
“Perbincangan juga menekankan penggunaan teknologi dron yang semakin meluas merentasi sektor seperti pertanian, infrastruktur, logistik dan perkhidmatan awam yang meningkatkan keberkesanan, mengurangkan kos dan meningkatkan kesalinghubungan terutama di wilayah seperti Sarawak,” menurut kenyataan itu. – Bernama