SEMUA atlet dan ahli Kontinjen Para SUKMA Sarawak harus mempamerkan semangat kesukanan yang baik dan membawa imej baik negeri pada Kejohanan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur yang bermula esok.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kita berharap proses klasifikasi atlet Sarawak berjalan lancar dalam kejohanan Para Sukan Malaysia (SUKMA) sekali gul bakal menentukan kejayaan buat Kontinjen Bumi Kenyalang.
“Ini akan menentukan jumlah pingat yang boleh dimenangi Sarawak dalam usaha menyasarkan kejuaraan keseluruhan untuk rekod kali ke-14.
“Pengkelasan telah dimulakan semalam dan di Sarawak kami telah melakukan latihan klasifikasi kami sendiri,”katanya ketika ditemui pemberita ketika menghantar Kontinjen Para SUKMA Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
Fatimah turut berpesan agar para atlet dan pegawai pasukan supaya tidak terlalu yakin dan berasa angkuh ketika menyahut cabaran Sarawak sepanjang temasya itu berlangsung.
Para SUKMA tahun ini, Sarawak diwakili 134 atlet yang akan bertanding dalam 10 acara iaitu memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, lawn bowl, angkat berat, renang, ping pong dan tenpin boling.
Mengiringi para atlet ialah 180 pegawai pasukan termasuk jurulatih, pengurus pasukan, pengiring dan pegawai perubatan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad.
Oleh AZREEN KERIA