Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Sasar pendapatan RM15,000 seisi keluarga di Bukit Saban menjelang 2030
  • Tengah
  • WILAYAH

Sasar pendapatan RM15,000 seisi keluarga di Bukit Saban menjelang 2030

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa mengadakan sesi dialog pembangunan sosioekonomi bersama pemilik tanah NCR daripada 14 rumah panjang di kawasan Ulu Rimbas dan Ulu Paku, hari ini. Foto: Pejabat Timbalan Premier

SPAOH: Kerajaan Sarawak komited untuk mendengar sendiri pandangan rakyat dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi di kawasan Bukit Saban, dengan fokus utama memperkukuh kegiatan ekonomi setempat serta meningkatkan pendapatan penduduk sehingga sasaran RM15,000 bagi setiap keluarga menjelang 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan dialog secara langsung bersama rakyat amat penting bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dibuat berdasarkan keperluan sebenar komuniti, khususnya melibatkan pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian semasa mengadakan sesi dialog pembangunan sosioekonomi bersama pemilik tanah NCR daripada 14 rumah panjang di kawasan Ulu Rimbas dan Ulu Paku, hari ini.

“Kita mahu dengar sendiri pandangan rakyat dan menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi di Bukit Saban. Fokusnya ialah bagaimana kegiatan ekonomi boleh diperkukuh dan pendapatan penduduk ditingkatkan. Sasaran kita menjelang 2030 ialah pendapatan RM15,000 bagi satu keluarga,” katanya.

Menurut Uggah, antara perkara utama yang dibincangkan ialah potensi membangunkan tanah NCR secara kerjasama dengan pihak swasta melalui model usaha sama, yang mampu menyediakan teknologi, modal, kepakaran pengurusan serta akses pasaran, manakala kerajaan pula akan menyokong dari segi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas.

Beliau berkata, walaupun sasaran pendapatan tersebut mencabar, ia mampu dicapai sekiranya wujud kesediaan dalam kalangan rakyat untuk bekerjasama dengan rakan pelaksana serta komitmen berterusan daripada semua pihak.

“Jika kita gemblengkan peranan sektor swasta, sokongan kerajaan dan kesediaan rakyat untuk bekerja keras, saya yakin matlamat ini boleh direalisasikan,” katanya.

Bagi memberi pendedahan yang lebih jelas, syarikat swasta turut dijemput memberi taklimat mengenai pengalaman dan syarat pembangunan tanah NCR, termasuk rekod kejayaan membangunkan sehingga 45,000 hektar di lokasi lain.

Uggah berkata, sekiranya tanah di Bukit Saban sesuai untuk tanaman komersial seperti kelapa sawit, pembangunan boleh dilaksanakan secara berperingkat dan lebih berdaya maju.

Beliau turut menegaskan keperluan mengaktifkan lebih 6,000 hektar tanah NCR yang kini terbiar dan tidak memberikan sebarang pulangan ekonomi, sekali gus menjejaskan potensi pendapatan pemilik tanah dan pembangunan kawasan.

Dalam pada itu, Uggah berkata pendekatan kerjasama dengan sektor swasta bukan perkara baharu di Bukit Saban, memandangkan beberapa projek terdahulu seperti Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPCC), Taman Agro dan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) telah menunjukkan impak positif kepada ekonomi setempat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang turut hadir, menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh penglibatan pemilik tanah melalui dialog berterusan agar setiap keputusan pembangunan dibuat secara telus, dipersetujui bersama dan memberi manfaat jelas kepada komuniti.

Sesi dialog berkenaan turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Sabai, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) daripada 14 rumah panjang di Ulu Rimbas dan Ulu Paku serta wakil syarikat yang terlibat.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: RM270,000 peruntukan UNIFOR untuk Gereja Life Baptist
Next: Kempen keselamatan kebakaran perkukuh kesiapsiagaan komuniti DUN Kalaka

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.