
KUCHING: Syarikat telekomunikasi Sarawak, Reach Ten Holdings Berhad, menyasarkan kutipan RM104 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bagi memperluas infrastrukturnya di negeri itu.
Menurut Reach Ten, sebanyak RM60 juta, iaitu 57.7 peratus daripada hasil IPO, akan digunakan untuk memperluas rangkaian komunikasi gentian optik di Kuching serta membina infrastruktur baharu di Miri, Sibu dan Bintulu.
“RM25 juta (24.0 peratus) akan diperuntukkan bagi pembinaan 100 menara telekomunikasi 4G dan/atau 5G di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.
“Sebahagian lagi hasil IPO sebanyak RM4.3 juta akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan satelit termasuk perolehan terminal tambahan dan naik taraf kemudahan teleport.
“Baki dana akan digunakan untuk keperluan modal kerja (RM5 juta), bayaran balik pinjaman bank (RM1.7 juta), serta kos penyenaraian (RM8 juta),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin menyatakan bahawa Reach Ten mahu memperluaskan rangkaian gentian optik, meningkatkan kapasiti satelit dan membangunkan penyelesaian digital untuk menyediakan sambungan tanpa gangguan di seluruh Sarawak.
“Dengan perluasan ini, kami dapat mencapai kawasan kurang mendapat perkhidmatan serta menarik pelanggan baharu sekali gus meningkatkan bahagian pasaran.
“Kami juga bercadang untuk membangunkan tiga infrastruktur baharu di Miri, Sibu dan Bintulu dalam tempoh tiga hingga empat tahun berdasarkan pengalaman kami di Kuching dan Samarahan,” tambahnya.
Reach Ten sebelum ini telah terlibat dalam inisiatif seperti JENDELA, SMART dan SALURAN bagi menyokong ketersambungan luar bandar di Sarawak.
Bagi tempoh 10 bulan berakhir 31 Oktober 2024, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM65.4 juta dengan margin keuntungan bersih 42.7 peratus.
IPO Reach Ten melibatkan penerbitan 200 juta saham baharu dan penjualan 100 juta saham sedia ada, dengan harga tawaran ditetapkan pada RM0.52 sesaham.
Reach Ten dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2 Mei depan.
Oleh Masrin Affirah