PELANCARAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan koleksi setem ulang tahun ke-100 Sarawak Energy Berhad (SEB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam.• Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Sarawak berhasrat menjadi kuasa besar Asia Tenggara dengan menyediakan bekalan tenaga elektrik yang mampu milik, boleh dipercayai dan boleh diperbaharui di rantau ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin boleh mencapai sasaran ini memandangkan banyak kuasa hidro boleh diperbaharui dan sumber asli di negeri ini.
“Sejak 2016, kita telah mengeksport kebanyakannya tenaga elektrik boleh diperbaharui ke Kalimantan Barat dan dalam masa terdekat ini kita akan memulakan eksport tenaga ke Sabah dan akhirnya menyasarkan untuk merealisasikan Borneo Grid dan menjadi bateri ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Seratus Tahun Sarawak Energy Berhad (SEB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Ketua Menteri juga memberitahu, projek Kalimantan Utara juga sedang berjalan dengan baik dalam penyediaannya untuk keputusan pelaburan akhir.
“Sebaik sahaja projek ini direalisasikan, ia akan menyumbang kepada kebolehpercayaan bekalan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran,” katanya lagi.
Sementara itu, Abang Jo memberitahu, Sarawak kini memulakan agenda tenaga hijau untuk pembangunan mampan dan menangani perubahan iklim.
Katanya, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang baharu bagi tujuan ini.
“Dengan kementerian ini, kita harap kita dapat menyelaraskan, memberi hala tuju pembangunan tenaga hijau dan sudah tentu kita turut serta dalam isu perubahan iklim dunia.
“Ini adalah isu yang sangat penting dan kita berharap dapat menyumbang kepada keperluan dunia iaitu mengurangkan pelepasan karbon dan mempunyai kehidupan yang selesa untuk penduduk dunia,” katanya.
Abang Jo menambah, tenaga boleh diperbaharui dan agenda berkaitan kemampanan Sarawak ini digabungkan dengan pelan tindakan pembangunan Pasca Covid-19.
“Kita mahu membina masa depan yang baik untuk generasi akan datang.
“Oleh kerana kemampanan sedemikian adalah kunci kepada pembangunan Sarawak dan ini akan memastikan bahawa kita memaksimumkan impak positif dan meminimumkan kesan negatif daripada semua yang kita lakukan sambil terus mencipta nilai kepada semua pemegang kepentingan dan rakyat Sarawak,” katanya.