MAURIZIO Sarri menyifatkan gelaran liga pertamanya dengan Juventus sebagai “terasa manis” setelah musim pertama yang sukar buat jurulatih veteran itu yang dibayangi oleh ‘lockdown’ tiga bulan Covid-19.
“Saya memberitahu para pemain ‘jika anda menang dengan saya yang tidak pernah memenangi apa-apa, ini kerana anda benar-benar kuat’,” kata Sarri kepada wartawan setelah pasukan gergasi Turin itu merangkul gelaran liga kesembilan berturut-turut semalam.
Cristiano Ronaldo dan Federico Bernardeschi menjaringkan gol dalam separuh masa kedua ketika Juventus menewaskan Sampdoria 2-0 untuk melonjak tujuh mata di hadapan Inter Milan yang berada di kedudukan kedua dan melengkapkan ‘Scudetto’ ke-36 dengan baki dua perlawanan lagi.
Gelaran itu merupakan yang pertama buat Sarri yang berusia 61 tahun dan memperluas rekod Juventus yang dimulakan oleh Antonio Conte dengan tiga gelaran mulai 2012 dan Massimiliano Allegri meneruskan dengan lima gelaran berikut.
“Rasanya manis. Menang itu sukar dan kelab ini telah menang selama bertahun-tahun,” kata Sarri, di mana satu-satunya trofi beliau sebelum ini adalah Liga Europa tahun lalu bersama Chelsea.
“Setiap tahun lebih sukar. Tidak ada yang diperoleh dalam sukan dan tidak mudah untuk berada di tahap ini.
“Ini adalah musim yang sangat sukar, sangat panjang, aneh. Untuk berjaya menjadi juara dengan dua pusingan lagi, adalah prestasi hebat kumpulan ini.”
Tumpuan Sarri sekarang akan beralih ke perlawanan kedua pusingan kedua LIga Juara-Juara UEFA menentang Lyon pada 8 Ogos, di mana Juventus perlu mengatasi defisit 1-0 daripada perlawanan pertama di Perancis.
Juventus belum memenangi gelaran Eropah sejak 1996. – AFP