Saringan kesihatan percuma tarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Tani Semula Jadi Kuching

Facebook
WhatsApp
DATUK Wee Hong Seng bergambar bersama pegawai kesihatan yang mengadakan saringan kesihatan percuma. Foto Facebook Wee Hong Seng

KUCHING: Kemudahan saringan kesihatan percuma menjadi tarikan utama sehingga berjaya meningkatkan jumlah pengunjung ke Pasar Tani Semula Jadi Kuching ke-54 yang berlangsung di sini, hari ini.

Salah seorang peserta yang juga merupakan Pengurus Besar Utusan Sarawak Ivy Ngo berkata, inisiatif pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh Lions Clubs International bukan sahaja memberi manfaat kepada orang ramai, malah turut membantu merancakkan suasana pasar.

“Ramai pengunjung datang bukan sahaja untuk membeli hasil segar, tetapi juga mengambil peluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan jualan peniaga,” katanya.

Program yang diadakan di tempat letak kereta berbumbung Majlis Bandaraya Kuching Selatan itu berlangsung dari 7.30 pagi hingga 11.00 pagi.

Pasar berkenaan menawarkan pelbagai hasil tempatan segar, produk semula jadi dan buatan sendiri, selain konsep terus dari ladang ke meja yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

PELBAGAI tanaman hiasan dan pokok dijual menarik minat pengunjung.

Selain itu, suasana komuniti yang mesra turut menjadi daya tarikan, dengan pengunjung hadir bersama keluarga bagi menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih santai sempena hujung minggu panjang.

DATUK Wee Hong Seng bergambar bersama pengunjung Pasar Tani Semula Jadi Kuching. Foto Facebook Wee Hong Seng.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Wee Hong Seng turut meluangkan masa melawat tapak pasar dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung.

Penganjuran program tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh interaksi komuniti setempat melalui aktiviti yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Oleh Shahrul Qaizat