
PETRA JAYA: Pelaksanaan saringan dan intervensi digital di bawah SeDidik mencatat kejayaan apabila sebahagian kanak-kanak yang dikenal pasti memerlukan sokongan awal berjaya mengikuti pembelajaran di aliran perdana, hasil kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa dari Jepun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi projek perintis saringan dan intervensi digital dengan kerjasama syarikat Jepun, Toy Aid, yang ditaja oleh Nippon Foundation.
“Melalui projek perintis ini, seramai 20 kanak-kanak menjalani saringan dan intervensi digital, dan hasilnya 12 daripada mereka berjaya mengikuti pembelajaran di aliran perdana tanpa perlu ditempatkan dalam kelas pendidikan khas,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah SeDidik di Bangunan Baitul Makmur 2, hari ini.
Menurut beliau, program tersebut memberi peluang kepada kanak-kanak yang sebelum ini tidak pernah dinilai atau didiagnosis secara profesional untuk menerima sokongan awal yang bersesuaian, sekali gus meningkatkan potensi mereka untuk mengikuti pendidikan formal dalam sistem arus perdana.
Beliau berkata kejayaan program berkenaan turut disokong oleh pelaksanaan latihan menyeluruh kepada guru, termasuk pendekatan latihan jurulatih bagi memastikan kemahiran yang diperoleh dapat dipindahkan dan diteruskan secara berterusan.
“Guru-guru SeDidik bukan sahaja dilatih menggunakan kaedah saringan dan intervensi digital, malah sebahagian mereka telah ditauliahkan sebagai jurulatih bagi melatih guru lain supaya program ini tidak bersifat sekali sahaja,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi digital dalam pendidikan awal kanak-kanak bertindak sebagai alat sokongan kepada guru, selain membantu memastikan setiap kanak-kanak, termasuk yang berkeperluan khas, mendapat peluang perkembangan yang adil dan seimbang.
Oleh Shikin Mahmud