
SARIKEI: Sarikei terus mencipta kecemerlangan dalam sukan bola keranjang apabila pasukan bawah 15 tahun (15TKB) dinobatkan sebagai juara Peringkat Wilayah Sarawak 2025.
Kejayaan manis itu diraikan dalam satu majlis makan malam anjuran Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sarikei, yang berlangsung dalam suasana meriah di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.
Hadir bagi menyantuni pasukan belia yang mengharumkan nama Daerah Sarikei tersebut ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, kejayaan pasukan bawah 15 tahun menjuarai kejohanan di Miri serta pasukan wanita Sarikei mengekalkan kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut merupakan bukti kecekalan para atlet dan sokongan padu daripada komuniti sukan tempatan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain dan jurulatih yang telah berusaha keras sehingga berjaya membawa nama Sarikei ke tahap yang membanggakan.
“Bola keranjang adalah sukan yang baik untuk membina disiplin, semangat berpasukan serta melahirkan bakat baharu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambahnya, usaha melatih pemain berpengalaman sambil melahirkan generasi pelapis harus diteruskan bagi memastikan kecemerlangan bola keranjang Sarikei kekal di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Saya berharap lebih ramai belia akan melibatkan diri secara aktif dalam bola keranjang, manakala persatuan sukan digalakkan memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam memajukan mutu permainan ini,” katanya.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut diserikan dengan sambutan Perayaan Kuih Bulan yang melambangkan ikatan kekeluargaan, perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarikei.
“Perayaan budaya seperti ini memperkukuh nilai kebersamaan dan penting untuk memastikan komuniti terus bersatu padu walaupun berbeza latar belakang,” katanya lagi.
Sebagai sokongan berterusan kepada pembangunan sukan bola keranjang tempatan, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sarikei bagi menyokong aktiviti tahunan dan pembangunan bakat baharu.
Oleh Earl Anek