
SARIKEI: Orang ramai dijemput hadir ke Daerah Sarikei pada 30 dan 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Menteri Bertanggungjawab sambutan berkenaan berkata sambutan bertemakan ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’ ini menekankan keutamaan rakyat dalam pembangunan negara, kesejahteraan bersama serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan nilai kemanusiaan.
“Ahamdulillah, tahun ini sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak diadakan di Sarikei. Acara yang akan diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ini adalah Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Kompleks Sukan Intergrasi.
“Acara kedua, keesokan harinya pada 31 Ogos akan diadakan Perarakan Perpaduan bermula dari Kompleks Sukan Sarikei dan pulang semula ke Kompleks Sukan Sarikei sejauh 5 kilometer (km),” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Sarikei, hari ini.
Tambahnya, acara ketiga iaitu perhimpunan Hari Kebangsaan di kawasan pekarangan Dewan Suarah Sarikei.
“Pelaksanaan acara akan menekankan keterangkuman, perpaduan, dan tema ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’, merangkumi semua rakyat di bandar Sarikei dan kawasan sekitar. Penglibatan untuk acara Ambang Merdeka juga dirancang dengan persembahan artis popular dan bunga api pada tengah malam bagi memeriahkan suasana,” katanya.
Beliau berharap seluruh warga Sarikei, kampung dan rumah panjang akan dapat mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.
“Acara besar-besaran berpotensi menjana peluang ekonomi dan menambah pendapatan peniaga, yang sememangnya mengalu-alukan penganjuran acara sebegini,” katanya.
Jelasnya, acara Perarakan Perpaduan menekankan perpaduan dan keterangkuman dengan melibatkan pelbagai individu dari semua peringkat umur, termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Penyertaan juga dari badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan belia, dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). Acara ini memastikan tiada pihak terpinggir dalam penyertaan. Dijangka seramai 5,000 orang akan menyertainya,” ujarnya lagi.
Katanya, ini juga untuk mewujudkan satu perasaan bersatupadu dan patriotisme iaitu cinta kepada negeri dan negara.
“Pada 11.00 pagi, dijangka Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi akan hadir untuk majlis iaitu perhimpunan Hari Kebangsaan dan tempatnya adalah di pekarangan Dewan Suarah Sarikei.
“Pengisiannya adalah acara rasmi dan acara hiburan…objektifnya, kita harap ia akan dapat menimbulkan perasaan cintakan negara kita dan cintakan perpaduan,” katanya.
Jelasnya, dijangka Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi akan hadir ke majlis perhimpunan Hari Kebangsaan di pekarangan Dewan Suarah Sarikei.
Oleh Earl Anek