
SARIKEI: Seramai 100 peserta dari seluruh Sarawak telah menyertai Kejohanan Snuker Tertutup Sarawak 2025 yang berlangsung di Kelab Cue Repok di sini, baru-baru ini.
Hadir bagi merasmikan majlis pembukaan rasmi kejohanan tersebut ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Menurut Huang, kejohanan itu merupakan penganjuran julung kali oleh Persatuan Biliard Bahagian Sarikei di peringkat negeri, dan menjadi medan pertemuan bagi pemain-pemain snuker berbakat dari seluruh pelusuk Sarawak.
“Penyertaan diterima dari daerah Lawas, Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Sri Aman, Sarikei dan Kuching, dengan Kuching mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memuji komitmen tinggi dan persiapan rapi yang dilakukan oleh penganjur dalam memastikan kejohanan berjalan lancar dengan penuh semangat profesionalisme.
“Semua peserta membuktikan kelayakan mereka melalui prestasi cemerlang di meja snuker dan menonjolkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan,” katanya.
Tambah beliau, pemilihan Sarikei sebagai tuan rumah adalah satu penghormatan yang membanggakan bagi komuniti tempatan.
“Kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat dalam sukan snuker, malah turut mempereratkan hubungan antara peserta dari pelbagai latar belakang dan daerah,” ujarnya.
Oleh Earl Anek