KUCHING: Ekspo E-Sukan Sarawak 2024 (SAREX24) menjadi bukti keupayaan negeri ini dalam meneroka ekonomi digital moden dengan menekankan kreativiti, inovasi, dan kerjasama sebagai asas utama.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SAREX24 kini menjadi platform global yang menarik penyertaan bukan sahaja dari Sarawak dan Malaysia tetapi juga dari pasukan antarabangsa di Asia Tenggara.
“E-sukan bukan sekadar hiburan, tetapi turut berfungsi sebagai pemacu ekonomi, platform pendidikan, dan alat perpaduan.
“Industri ini menyediakan peluang kepada belia untuk bertanding sambil mengembangkan kemahiran teknologi, kerjasama, dan kepimpinan.
“Sebagai negeri yang menghargai inovasi, Sarawak komited untuk membangunkan industri ini.
“Melalui SAREX24, kami berhasrat memperkasa belia dengan menyediakan plaform untuk mempamerkan bakat mereka sekali gus menjadikan Sarawak hab e-sukan Asia Tenggara, dan mengintegrasikan e-sukan dalam pelancongan serta industri kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan pada majlis penutupan tersebut di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan rancangan untuk menjadikan SAREX acara tahunan rasmi di bawah kalendar pelancongan Sarawak.
“Mulai tahun depan, kami merancang meningkatkan hadiah wang tunai kepada RM100,000 untuk menarik lebih banyak pasukan antarabangsa dan penaja.
“Ini adalah langkah besar untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi global untuk e-sukan dan inovasi,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Karim turut memuji semangat komuniti e-sukan yang menjadi nadi kepada kejayaan SAREX24.
“Anda membuktikan bahawa permainan bukan sekadar hobi, ia adalah jambatan yang menghubungkan budaya, idea, dan komuniti,” katanya.
Turut hadir, Presiden Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) Afiq Fadhli.
Oleh Mohd Neenatul Aizal