KUCHING: Penganjuran Ekspo Esports Sarawak 2024 (SAREX24) mencerminkan komitmen padu Sarawak dalam memperkasa negeri ini sebagai peneraju industri sukan elektronik (e-sukan) dan industri digital di rantau ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ekspo itu juga akan memperkasa bakat belia dan memupuk ekonomi kreatif yang semakin berkembang maju.
”Melalui SAREX24, kita bukan sahaja mempromosikan e-sukan malah turut menyediakan platform untuk pembelajaran, kerjasama dan peluang perniagaan yang akan mewujudkan impak positif merentas pelbagai sektor.
”Ini kerana pertandingan ini turut disertai oleh peserta dari luar negara. Apabila ada kemasukan pelancong dari luar Sarawak, maka sudah tentu mereka akan menyumbang kepada ekonomi kita kerana mereka semestinya memerlukan penginapan, makanan dan sebagainya.
”Maka, sudah tentu acara seperti ini secara tidak langsung akan melonjakkan ekonomi tempatan termasuk industri penerbangan,” katanya pada sidang media SAREX24 di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Esports Sarawak (SESA) merangkap Pengerusi Penganjur SAREX24, Afiq Fadhli Narawi berkata penganjuran SAREX kali ketiga itu menyediakan platform yang sesuai untuk pemain meningkatkan kemahiran dalam bidang tersebut.
”Mereka semestinya akan merasai pengalaman berharga apabila berentap dengan pemain dari luar negara dan inilah matlamat kita iaitu menyediakan medium yang menyatukan masyarakat serantau selain mengangkat e-sukan di Sarawak ke tahap optimum.
”Para pemain dari Sarawak juga perlu mengambil peluang ini sebaiknya terutama peluang untuk bertanding dengan pemain-pemain bertaraf antarabangsa, kerana jika mereka bertanding di luar negara, semestinya memerlukan kos tinggi,” tambahnya.
Difahamkan, setakat November ini, seramai 600 peserta dari luar negara merangkumi Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Laos, Cambodia, Vietnam, Timor-Leste dan Myanmar telah mendaftar untuk menyertai SAREX24 yang akan berlangsung di Tapak Acara Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKS).
Pertandingan yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 15 Disember itu menawarkan keseluruhan berjumlah RM80,000 dan akan dimeriahkan dengan bengkel sukan elektronik, keusahawanan digital serta teknologi terkini dunia sukan elektronik.
Oleh RYNNA SHA’ERRA