

BINTULU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Bintulu 2026 membuka tirainya secara rasmi hari ini dengan pelbagai pengisian menarik yang dijangka menjadi tumpuan masyarakat sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 22 hingga 24 Mei di Lasar Kenyalang atau Tapak Lapangan Terbang Lama di sini.
Program berskala besar itu bukan sahaja menjadi platform mendekatkan rakyat dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan, malah turut menghimpunkan aktiviti interaktif, pameran serta hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga.
Majlis pra-pelancaran program telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Kemuncak program bakal berlangsung menerusi Majlis Pelancaran Program Sarawakku Sayang Bahagian Bintulu 2026 yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Sabtu ini.

Seawal hari pertama penganjuran, suasana program mula dimeriahkan dengan pembukaan ‘Bintulu Kitchen & Sales’ yang menawarkan pelbagai jualan dan produk tempatan, manakala pengunjung turut berpeluang mengunjungi pameran utama, kaunter perkhidmatan serta menyertai e-peraduan di Khemah Sarawak Pavilion.
Menjelang petang, kemeriahan program terus terasa dengan pelbagai aktiviti interaktif yang disusun khas bagi menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk permainan mini, pertandingan mewarna, kuiz makanan Sarawak dan Sukaneka Rakyat yang melibatkan komuniti setempat.
Lebih menarik, suasana pada sebelah malam dijangka bertambah meriah menerusi penganjuran Konsert Rakyat yang menampilkan persembahan artis tempatan serta pelbagai pertunjukan kebudayaan yang menggambarkan keunikan dan kepelbagaian warisan masyarakat di negeri ini.

Selain itu, aksi final Piala Malaysia 2026 antara Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan disiarkan menerusi skrin besar di pekarangan Lapangan Terbang Lama Bintulu pada malam Sabtu ini.
Turut hadir pada majlis pra-pelancaran program itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti serta Ketua-ketua Jabatan. – UKAS