KUCHING: Lawatan rombongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak ke Yogyakarta, Indonesia diharap dapat membuka peluang kerjasama dalam tekstil batik.
Menurut kenyataan kementerian itu lawatan tersebut dibuat bagi menghadiri Festival Batik yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad.
”Acara ini menyerlahkan warisan budaya Indonesia yang kaya, terutamanya dalam kraf tekstil,” katanya.
Delegasi itu yang diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, juga berpeluang mengadakan perbincangan bersama Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengku Buwono X.
Katanya, perbincangan itu tertumpu kepada potensi kerjasama dalam tekstil batik.
”Sarawak dan Indonesia mempunyai budaya asli yang berakar umbi berkongsi tradisi yang sama dalam tekstil manakala batik memainkan peranan penting dalam identiti kedua-dua wilayah ini.
”Melalui jalinan kerjasama, Sarawak dan Yogyakarta berpotensi untuk membantu antara satu sama lain dalam pelbagai sektor seperti teknik batik, reka bentuk motif dan usaha pemeliharaan bagi meningkatkan nilai budaya dan ekonomi bentuk seni tradisional ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, status Yogyakarta sebagai pusat batik yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) meningkatkan kepentingannya dalam industri kraf global.
Justeru, ia dapat memberi Sarawak peluang unik untuk belajar daripada amalannya dalam pemeliharaan warisan selain pertukaran pengetahuan.
”Pendekatan kejayaan Yogyakarta untuk menyokong tukang (artisan) sambil menyesuaikan batik untuk memenuhi permintaan pasaran kontemporari akan menyumbang inspirasi kepada Sarawak.
”Kemampanan ekonomi industri batik Yogyakarta disokong oleh sokongan artis, pemasaran strategik dan penjenamaan dan faktor kejayaan ini boleh dijadikan model untuk Sarawak dalam mengembangkan sektor krafnya sendiri,” katanya.
Turut hadir semasa lawatan ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datu Sherrina Hussaini; Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Nancy Jolhi; isteri Dato Sri Abdul Karim, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar; Pensyarah Kanan di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Elena Chai dan Suriya Charles.