KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak yakin kepakaran rakyatnya dalam bidang elektrik dan tenaga baharu akan menjadikan wilayah itu hab utama sektor tersebut di Asia Tenggara (ASEAN).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk menjadi pembekal utama, sumbangan anak Bumi Kenyalang yang berkemahiran dalam bidang elektrik dan kecerdasan buatan (AI) sangat diperlukan.
“Oleh itu, kita memerlukan jurutera elektrik, pakar dalam data AI elektrik, serta pakar yang mampu menyambung kabel elektrik.
“Saya percaya anak-anak Sarawak mampu membekalkan pakar dalam tenaga elektrik serta pakar untuk industri pengeluaran hidrogen.
“Sekarang kita tumpukan hasrat untuk menjadi pembekal elektrik utama di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Townhall ‘Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak,’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata kerajaan Sarawak yakin bahawa mereka dapat menjadi ‘power house’ dalam pengeluaran elektrik, berikutan kemampuan negeri ini untuk menghasilkan dan membekalkannya kepada negara jiran.
“Kita (merancang untuk) berkongsi tenaga dengan Semenanjung Malaysia iaitu maksimum 1,000 megawatt (MW) dan begitu juga dengan Singapura,” katanya.
Beliau berkata kemampuan Sarawak telah terbukti apabila berjaya membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia.
“Kita juga melabur di Kalimantan Timur dan akan membekalkan elektrik sehingga ke ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara.
“Bayangkan jika kita memiliki sumber elektrik yang stabil untuk disalurkan kepada negara jiran; kita akan menjadi hab utama di ASEAN,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.
Pada majlis sama, seramai 3,000 pelajar Sarawak dari beberapa universiti di Semenanjung Malaysia serta rakyat Sarawak hadir pada sesi tersebut.
Oleh Mohd Neenatul Aizal