
SIBU: Program Sarawak X-tive 2025 Peringkat Bahagian Sibu yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang menjadi inisiatif penting kerajaan Sarawak dalam mempromosikan gaya hidup sihat serta mengeratkan semangat perpaduan masyarakat.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menjadi platform untuk beriadah, malah menyemarakkan kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang program yang berlangsung dari 13 hingga 14 September, termasuk acara mencabar seperti tarik tali dan ‘strongman’, serta aktiviti santai seperti larian santai dan zumba yang menerima penyertaan besar,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, hari ini.
Dengan sasaran lebih 1,500 peserta sambutan itu membuktikan minat tinggi masyarakat Sibu terhadap aktiviti sukan dan kecergasan, sekali gus mencerminkan tanda positif dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat.
“Ini menunjukkan bahawa komuniti Sibu adalah masyarakat yang bersemangat dan menyokong pembangunan secara holistik.
“Kita bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga sihat dari segi mental dan jasmani,” ujarnya.
Beliau yakin, dengan sokongan berterusan pelbagai pihak, Sarawak X-tive berpotensi untuk diteruskan sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penglibatan para peniaga dan usahawan tempatan yang memeriahkan program menerusi gerai jualan yang diselaras oleh Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Sibu.
Beliau juga menghargai penyertaan golongan usahawan Jualan Bonet Kereta (Car Boot Sale) yang beroperasi hingga 10.00 malam sepanjang program berlangsung.
“Kehadiran anda bukan sahaja menambah kemeriahan, malah turut membantu menggerakkan ekonomi setempat,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dolhadi Marzuki, Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh Akun Giman