
KUCHING: Penubuhan Sarawak Water Sdn. Bhd. (SWSB) merupakan langkah strategik kerajaan Sarawak untuk memastikan pengurusan bekalan air yang mampan dan menyeluruh demi rakyat dan pembangunan industri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jaminan bekalan air dan tenaga yang stabil, selain ketersediaan tenaga kerja berkualiti, merupakan antara faktor utama yang menarik pelabur asing ke Sarawak.
“Kita tidak tahu bila pusat data mungkin memilih untuk beroperasi di Sarawak. Namun, mereka memerlukan sumber air, terutamanya air sejuk bagi sistem penyejukan.
“Oleh itu, kita mesti merancang lebih awal untuk menyokong keperluan industri masa depan yang sangat bergantung kepada sumber air,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sarawak Water Sdn. Bhd. di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tambah beliau, Sarawak memerlukan sebuah entiti khusus yang berupaya mengurus keperluan bekalan air domestik bagi pengguna biasa serta memenuhi permintaan air berskala besar bagi sektor perindustrian.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan potensi penggunaan air kitar semula sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi lestari negeri. Katanya, inisiatif tersebut telah pun diperkenalkan di kawasan perumahan di Santubong, yang dilengkapi sistem pengumpulan air hujan ke dalam tangki simpanan untuk kegunaan harian.
“Air itu boleh digunakan untuk keperluan lain dan juga dirawat semula sebagai air kitar semula yang boleh digunakan kembali. Ini adalah antara langkah lestari yang perlu diterokai secara lebih serius,” jelasnya.
Pada majlis berkenaan, Abang Johari turut merasmikan logo baharu Sarawak Water serta melancarkan aplikasi mudah alih Sarawak Water Mobile App bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan, termasuk pemantauan penggunaan air harian dan pembayaran bil secara dalam talian.
Oleh Shikin Mahmud