KUCHING: Sarawak akan terus berjaga-jaga berikutan kes Covid-19 melibatkan varian Delta sudah merebak ke negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata varian Delta adalah satu varian yang dominan yang mana simptomnya adalah sakit kepala, hidung tersumbat, sakit tekak, cirit birit, sakit otot dan badan serta keletihan.
Beliau berkata, Sarawak kini masih lagi dalam proses pemberian vaksin dengan kadar yang cepat dan mereka yang sudah divaksinasi tidak akan mengalami keadaan yang kritikal.
Tambahnya lagi, vaksin membolehkan orang ramai hidup dalam keadaan pandemik ini dengan lebih selamat dan mereka yang belum menerima vaksin lengkap harus terus menjaga diri dan juga keluarga mereka.
Menurut Dr Sim, boleh mendapatkan vaksin dengan melawat mana-mana pusat pemberian vaksin yang menawarkan vaksinasi secara jumpa terus.