
BINTULU: Sarawak akan menghantar kontinjen penuh seramai 44 orang atlet merangkumi kategori dewasa, remaja dan cilik ke Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan (KMTK) 2025 yang dijadual berlangsung pada 31 Mei hingga 1 Jun 2025 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Presiden Persatuan Memanah Tradisional Negeri Sarawak (PMTNS), Bujang Ham berkata, kejohanan tahun ini merupakan edisi pertama yang menyatukan semua kategori dalam satu pertandingan dan Sarawak menyahut cabaran tersebut dengan menyertai kesemua kategori yang dipertandingkan.
Menurutnya, bagi kategori dewasa lelaki dan wanita, kejohanan akan menggunakan anak panah amali seperti kayu atau buluh, manakala kategori remaja dan cilik akan kekal menggunakan anak panah karbon atau bebas.
“Siri pemilihan atlet telah bermula sejak 24 Oktober 2024 dengan sesi terakhir diadakan pada 26 April lepas secara serentak di beberapa lokasi seluruh Sarawak.
“Pemilihan ini dijalankan dengan kerjasama kelab-kelab dan persatuan di peringkat bahagian,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, majoriti peserta dalam kategori remaja dan cilik adalah muka baharu yang mula menceburi sukan tersebut dalam tempoh setahun kebelakangan ini.
“Oleh itu, penyertaan kali ini lebih bertujuan untuk pendedahan dan pembelajaran berbanding meletakkan sasaran pencapaian tinggi,” jelas beliau.
Sebagai rekod, Sarawak telah mencatat kejayaan cemerlang dalam KMTK 2024 apabila muncul juara bagi kategori Trio/Berpasukan lelaki dan wanita dewasa, selain menjuarai kategori individu lelaki dan wanita dewasa melalui Mohamad Edrudze Sulaiman dan Dayang Ferazlyn Abang Sahari.
Selain itu, Bujang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk ibu bapa, jurulatih, guru-guru, kelab dan persatuan di peringkat akar umbi yang telah membantu menjayakan penyertaan kontingen negeri pada edisi kali ini.
Ujarnya, kos penyertaan masih menjadi cabaran apabila hampir separuh daripada perbelanjaan ditanggung sendiri oleh peserta dan ibu bapa mereka.
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu PMTNS menjalankan aktiviti pembangunan sukan memanah di negeri ini.
Oleh Carolyne Utih