
KUCHING: Sempena genap 51 tahun penggubalan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan penubuhan Petronas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Wilfred Yap menyarankan agar dilakukan penilaian semula secara kritikal terhadap hak dan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Menurutnya, Sarawak sebagai salah satu rakan pengasas Malaysia telah menyumbangkan sumber minyak dan gas dengan niat yang baik selama ini, dengan harapan untuk menikmati pembangunan dan pulangan yang adil.
“Namun selepas lebih lima dekad, tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak telah secara sistematik dipinggirkan.
“Walaupun menyumbang secara signifikan kepada kekayaan negara, negeri kita tidak menerima pembangunan yang sepadan dan perlindungan perlembagaan tidak dihormati sepenuhnya,” katanya.
Yap menjelaskan bahawa meskipun PDA 1974 memberikan kawalan kawal selia sumber petroleum kepada Petronas, ia tidak menafikan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keterpinggiran berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap Sarawak dalam aspek pembiayaan pembangunan dan pembahagian hasil adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” tegasnya.
Beliau turut menggesa rakyat Sarawak untuk menghidupkan semula semangat 1974, bukan sebagai simbol dominasi Persekutuan, tetapi sebagai seruan baharu untuk menuntut keadilan.
“Kita mesti menghidupkan semula semangat 1974, bukan untuk meraikan penguasaan pusat, tetapi untuk menuntut hak dan keadilan untuk Sarawak.
“Sudah tiba masanya kita menegaskan hak ke atas sumber minyak dan gas sendiri serta memastikan rundingan masa depan berlandaskan kesaksamaan, bukan eksploitasi,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Yap menggariskan tiga tuntutan utama iaitu Sarawak mesti menerima bahagian hasil minyak dan gas yang adil, Kerajaan Persekutuan mesti menghormati hak Sarawak di bawah MA63, OMO dan DGO.
Selain itu ialah pembiayaan pembangunan yang sepadan dengan sumbangan Sarawak kepada negara harus disalurkan, khususnya dalam sektor infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.
“Selepas 51 tahun, sudah tiba masanya untuk Putrajaya memperbetulkan ketidakseimbangan ini dan mengiktiraf Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya.
Oleh Connie Chieng