KUCHING: Prihatin dengan nasib rakyat Sarawak yang turut menjadi mangsa banjir di Selangor, Kerajaan Sarawak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Menurut kenyataan media Sarawak Volunteers semalam, sumbangan barangan makanan dan keperluan asas bernilai RM17,200 telah diberikan kepada seramai 86 keluarga yang terlibat dalam bencana tersebut tahun lalu.
Sumbangan itu disalurkan melalui Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteer kepada mangsa bencana banjir yang tinggal di Sri Muda, Shah Alam serta di Klang, Balakong, Dengkil dan Cheras.
“Kumpulan pertama 68 keluarga telah menerima bantuan pada 24 Disember tahun lalu, manakala kumpulan kedua terdiri daripada 18 keluarga menerima bantuan pada 28 Disember lalu,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PSKL), Awang Supian Awang Daud kepada penerima-penerima.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa rakyat Sarawak yang tinggal di Semenanjung dan terkesan akibat bencana banjir boleh mendapatkan bantuan menerusi Pejabat Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.
Malah, peruntukan turut disediakan untuk membantu mereka bagi meringankan beban yang ditanggung, katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Ahad.
Oleh SYAMIMI HUSNA