KUCHING: Sarawak menginginkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil di peringkat persekutuan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ketika berlaku ketidaktentuan di Putrajaya pada penghujung Februari lalu, Abang Johari mengakui Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih untuk memberi sokongan kepada pihak yang dianggap mampu mewujudkan kestabilan dan menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Menurutnya, kerajaan pusat yang tidak stabil akan membawa kerugian di semua peringkat baik di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri.
“Alhamdullilah, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Plus telah terbukti mampu mentadbir negara dengan berkesan khususnya dikala negara menghadapi pandemik Covid-19 sehingga Malaysia diiktiraf antara negara yang terbaik dalam usaha menangani wabak itu.
“Malah, program pemulihan ekonomi pasca Covid-19 juga terbukti dirancang dan dilaksanakan secara tersusum,” katanya ketika merasmikan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di ruang legar Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Tegas Abang Johari lagi, pendirian Kerajaan GPS adalah untuk Sarawak melihat kepada keperluannya dengan lebih mikro khususnya dari segi pembangunan prasarana yang begitu penting untuk memangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
“Penyediaan hubungan fisikal dan juga bukan fisikal diperhebatkan dalam tempoh dua tahun ini dan ia disambung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga tahun 2030,” jelasnya.
Antara program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan dari perspektif Sarawak termasuk membangunkan jalan raya Pesisir Pantai dan Lebuhraya Kedua atau Second Trunk Road yang bernilai RM11 bilion serta pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan di kawasan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion kesemuanya.
Pada masa yang sama, Abang Johari mendedahkan kerajaan negeri sedang berusaha gigih untuk mendirikan tiang-tiang telekomunikasi dan setakat ini lebih 170 buah didirikan di seluruh negeri.
“Namun tanpa pembekal perkhidmatan atau penyedia perkhidmatan internet (ISP) program ini tidak akan mencapai matlamatnya,” ujarnya dan menambah, Kerajaan Negeri bertekad untuk melakukan intervensi bagi menyediakan perkhidmatan melalui Sarawak Multi-Media Authority (SMA) dengan kemungkinan penyediaan subsidi agar caj perkhidmatan tidaklah begitu tinggi bagi rakyat di luar bandar.
Langkah itu kata Abang Johari antara program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan mengikut perspektif Sarawak yang mungkin tidak ada dalam perspektif Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin dengan langkah yang diambil oleh Kerajaan Sarawak berdasarkan keperluan Sarawak, negeri ini mampu mencapai tahap pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berupaya menjadi negeri maju dalam masa 10 tahun lagi,” tegasnya.
Pada majlis sama Abang Johari menyempurnakan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada beberapa buah kenderaan pejabat termasuklah Jabatan Penerangan dan Pos Malaysia.
Oleh Diyana Samsuddin