
SHANGHAI, CHINA: Sarawak dan Universiti Fudan memeterai perjanjian kerjasama hari ini untuk memulakan penubuhan pusat penyelidikan perubatan integratif yang akan ditempatkan di Kenyalang Smart City (KSC) di Miri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata Universiti Fudan merupakan antara dua universiti terkemuka di China yang mendapat pengiktirafan Gred A dalam perubatan integratif dan berada dalam kelompok 50 universiti terbaik di dunia.
Katanya, inisiatif tersebut akan melibatkan tiga fasa di mana Fasa 1 melibatkan penubuhan Institut Perubatan Integratif Fudan SEA Kampus Miri, disusuli penubuhan Sekolah Perubatan Fudan Kampus Miri pada Fasa 2 dan penubuhan Universiti Fudan Kampus Miri pada Fasa 3.
“Kita akan meneruskan perbincangan bersama mereka untuk menjadikan usaha ini satu kenyataan.
“Delegasi kerajaan negeri sangat gembira dengan perkembangan positif inisiatif ini, dan kita amat berterima kasih kepada Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai yang banyak membantu dalam meneruskan beberapa perbincangan ini.”
Beliau berkata demikian kepada UKAS selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama “Pusat Penyelidikan Bersama untuk Pembangunan Perubatan Inovatif dalam Perubatan Bersepadu Cina dan Barat” di universiti itu di sini, hari ini.
Perjanjian tersebut ditandatangani Naib Presiden Universiti Fudan, Ma Yugang bersama Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd, Ar Teo Ah King dan turut disaksikan Presiden Universiti Fudan, Profesor Jin Li.
Menurutnya, barisan kepimpinan Majlis Bandaraya Shanghai dan Universiti Fudan juga amat menyokong penuh usaha pelaksanaan tiga fasa inisiatif berkenaan.
Menjelas lanjut, beliau optimis penubuhan universiti perubatan itu nanti dapat membantu mengatasi masalah kekurangan doktor di negeri ini.
Katanya, Sarawak masih memerlukan kira-kira 2,000 doktor dalam usahanya untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan perubatan, lebih-lebih lagi dengan negeri kini berdepan populasi menua.
“Kita masih kekurangan 2,000 doktor di Sarawak, kita sentiasa memerlukan lebih ramai doktor yang dilatih di UNIMAS dan dari sekolah perubatan lain.
“Harapan saya, dengan adanya sekolah perubatan ini dapat membantu kita dalam mendepani populasi menua dan mendapatkan autonomi dalam bidang perubatan dan pendidikan,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Datuk Amar Profesor Dr Sim bersama delegasi kerajaan negeri melakukan lawatan ke Muzium Inovasi Teknologi & Sains Universiti Fudan dan Muzium Sejarah Universiti Fudan disusuli dengan mesyuarat tertutup bersama kepimpinan tertinggi universiti.
Semasa lawatan, mereka telah diberi taklimat mengenai kejayaan universiti tersebut dalam penyelidikan teknologi satelit, kecerdasan buatan dan pelepasan sifar-bersih industri.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA), Dato Richard Wee, Pemangku Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Nur Athira Hani Abdul Rahman dan tetamu kehormat yang lain. -UKAS