Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak umum bonus dua bulan kepada penjawat awam, RM700 untuk penjawat persekutuan dan pengamal media swasta
  • SEMASA

Sarawak umum bonus dua bulan kepada penjawat awam, RM700 untuk penjawat persekutuan dan pengamal media swasta

Utusan Sarawak 3 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika bacaan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 kali ke-3 pada sidang DUN Sarawak, hari ini. Foto JAPEN

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri sebagai penghargaan atas peranan mereka menyokong agenda pembangunan negeri ini sepanjang tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata insentif itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen perkhidmatan awam negeri yang menjadi tulang belakang kejayaan Sarawak dalam mengekalkan kestabilan ekonomi, mengurus pembangunan dan melaksanakan agenda transformasi kerajaan.

“Penjawat awam Sarawak bekerja bersungguh-sungguh memastikan perkhidmatan kerajaan berjalan lancar. BKK dua bulan gaji ini adalah tanda terima kasih kerajaan kepada anda semua,” katanya ketika menggulung perbahasan di sesi terakhir sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam pengumuman sama, Abang Johari turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri meluluskan bayaran khas RM700 kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak, sebagai menghargai sumbangan mereka dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan dasar-dasar strategik yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Walaupun mereka penjawat Persekutuan, mereka tetap berkhidmat untuk rakyat Sarawak. Justeru kerajaan negeri bersetuju memberikan RM700 sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Bagi mengiktiraf peranan media swasta dalam menyebarkan maklumat tepat dan memastikan rakyat mendapat laporan sahih, kerajaan negeri turut bersetuju memberikan bayaran RM700 kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak.

Premier Sarawak berkata pengamal media memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat, terutama dalam menyampaikan maklumat pembangunan, dasar, perubahan ekonomi dan isu semasa.

“Kita amat menghargai peranan media yang membantu menyalurkan maklumat sebenar kepada rakyat. Kerajaan setuju memberikan RM700 kepada mereka yang berdaftar dengan persatuan media Sarawak,” tambahnya.

Pengumuman itu disambut baik wakil-wakil rakyat kerana ia dianggap tepat pada masanya, terutama ketika kos sara hidup meningkat dan ramai penjawat awam berdepan tekanan ekonomi.

BKK dua bulan gaji itu dijangka memberi rangsangan langsung kepada ekonomi negeri melalui peningkatan perbelanjaan isi rumah, selain menjadi suntikan moral untuk warga perkhidmatan awam memasuki tahun pentadbiran baharu.

Kerajaan negeri juga menegaskan bahawa pemberian itu sejajar dengan kemampuan kewangan Sarawak yang kekal kukuh berikutan kedudukan fiskal stabil, rizab tinggi serta penarafan kukuh oleh agensi antarabangsa.

Dengan pengumuman ini, Sarawak menjadi antara negeri paling pemurah dalam pemberian insentif tahunan kepada penjawat awam dan media, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan tenaga kerja awam terus terpelihara.

Tahun lalu, kerajaan negeri juga memberikan Bantuan Khas Kewangan bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam Sarawak serta RM700 kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini, menjadikan pengumuman tahun ini kekal tanpa perubahan dari segi jumlah.

Namun, pemberian RM700 kepada pengamal media swasta merupakan penambahan baharu, kerana tiada insentif seumpamanya disalurkan kepada golongan itu pada tahun sebelumnya.

Oleh SHAHRUL QAIZAT

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak bakal ambil alih dan naik taraf 5,977 km jalan balak
Next: Sarawak turut beri insentif RM500 kepada pesara perkhidmatan awam negeri sebagai tanda penghargaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.