KUCHING: Sarawak mengikut serta dan akur dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini kerana penularan wabak Covid-19 masih berlaku dan kerajaan tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut.
“Kita di (Sarawak) akan mengikuti (pelanjutan PKPP) dan sama seperti kerajaan pusat kerana kita masih berada dalam tempoh pemulihan.
“Tetapi kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini, kerana seperti yang anda ketahui apa yang sedang berlaku di New Zealand, penularan Covid-19 telah kembali lagi. Kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Wanita Sarawak 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP yang dijadual berakhir Isnin ini dilanjutkan sehingga 31 Disember depan dalam usaha untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan.
Menurut Perdana Menteri, dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.
Sementara itu menjawab soalan berlainan, Abang Johari memberi jaminan Bantuan Kkas Sarawakku Sayang (BKSS) akan terus disampaikan kepada penerima yang layak sehingga Disember tahun ini sejajar dengan perlanjutan PKPP.
“Negara telah menjangkakan PKP tidak akan berakhir dalam masa terdekat kerana peperangan melawan Covid-19 masih belum selesai.
“Jadi, BKSS adalah sampai Disember kerana kita sudah menjangkakan ini (perlanjutan PKPP),” jelasnya.
Untuk rekod, BKSS pertama kali diumumkan pada 23 Mac dengan sebanyak RM1.15 bilion diperuntukkan, manakala pada 10 April, BKSS 2.0 diberikan dengan peruntukan RM1.1 bilion dengan fokus rakyat serta pengusaha kecil dan komuniti perniagaan yang terjejas oleh PKP.
Kemudian pada 8 Mei, BKSS 3.0 diumumkan dengan peruntukan RM300 juta untuk membantu lebih ramai yang terjejas oleh PKP dan wabak Covid-19.