Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak tuntut autonomi kesihatan, krisis doktor bukan lagi isu angka
  • SEMASA

Sarawak tuntut autonomi kesihatan, krisis doktor bukan lagi isu angka

Utusan Sarawak 6 hours ago
AHLI Parlimen Sri Aman, Dato’ Seri Doris Sophia Brodie ketika membahaskan Titah Diraja 2026 pada Persidangan Parlimen, semalam. Foto Sarawak First 

KUALA LUMPUR: Sarawak memerlukan autonomi yang lebih besar dalam bidang kesihatan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi menangani krisis kekurangan tenaga kerja perubatan yang semakin meruncing, tegas Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Seri Doris Sophia Brodie.

Beliau berkata, isu kekurangan doktor, pakar dan jururawat di negeri ini tidak lagi boleh dilihat sebagai masalah statistik semata-mata, sebaliknya melibatkan soal hidup dan mati rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, Sarawak kini berdepan kekurangan seramai 1,817 pegawai perubatan termasuk 246 pakar serta 2,300 jururawat, satu situasi berlarutan yang masih gagal ditangani secara tuntas. 

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada masalah sebenar berpunca daripada kekangan sumber atau kegagalan menetapkan keutamaan.

“Lebih membimbangkan, agihan tenaga perubatan amat tidak seimbang apabila banyak klinik luar bandar langsung tiada doktor, atau hanya seorang doktor bagi 2,000 penduduk,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja 2026 pada Persidangan Parlimen, semalam.

Beliau turut mendedahkan kadar kegagalan melapor diri yang tinggi dalam kalangan doktor yang ditempatkan ke Sarawak, apabila lebih separuh daripada mereka tidak hadir melapor diri, sekali gus mencetuskan persoalan serius berkaitan pemantauan dan akauntabiliti sistem penempatan.

Doris berkata, penghijrahan pegawai perubatan dan pakar dari sektor awam ke sektor swasta atau ke luar negara semakin ketara akibat gaji yang tidak setimpal, beban kerja melampau, peluang kerjaya terhad serta cadangan pemotongan elaun wilayah yang selama ini menjadi tunjang mengekalkan petugas di pedalaman.

Tambahnya, hospital utama seperti Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Pusat Jantung Sarawak kini beroperasi melebihi kapasiti, manakala pembukaan wad baharu terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan kakitangan.

Keadaan di klinik luar bandar pula disifatkan uzur, dengan sebahagiannya masih berdepan masalah bekalan elektrik tidak konsisten, ketiadaan air terawat serta capaian internet yang lemah dan tidak stabil, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan.

“Akibatnya, ramai pesakit kanser hanya dikesan pada peringkat lewat, tempoh menunggu rawatan pula terlalu panjang sehingga ada yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan segera termasuk menyediakan insentif pedalaman yang realistik, memperketat pemantauan penempatan pegawai serta mempercepatkan naik taraf fasiliti kesihatan bagi menangani krisis perubatan yang kian membelenggu negara.

Oleh Adi Safarman

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Gempa bumi 6.4 magnitud landa Semenanjung Kamchatka, Rusia
Next: Chiew Choon Man sambut baik MHIT Asas, gesa reformasi insurans kesihatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.