
KUALA LUMPUR: Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) di Dewan Negara hari ini, Senator Dato Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa Sarawak bukan sekadar negeri biasa, tetapi rakan pengasas Malaysia sejak 1963.
“Sarawak bukan anak tiri, tetapi rakan kongsi dan jika Sarawak dibangunkan setara, Malaysia akan teguh sebagai negara bangsa.
“Apa yang Sarawak tuntut bukanlah belas kasihan. Apa yang kita tuntut ialah keadilan dalam hasil, pembangunan dan semangat MA63,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau turut menyambut baik projek dan sektor utama yang digariskan untuk Sarawak seperti tenaga hidrogen, Lebuh Raya Pan Borneo, hab petrokimia, ekonomi maritim, serta pelancongan melalui Special Tourism Investment Zone (STIZ).
Beliau turut menekankan bahawa angka peruntukan dan sasaran pertumbuhan ekonomi Sarawak masih belum mencukupi.
“Sarawak hanya disasarkan pertumbuhan 4.6 peratus, sedangkan Sabah 5.8 peratus dan Semenanjung 5.0 hingga 5.2 peratus. Ini tidak adil untuk wilayah yang menyumbang minyak, gas, hidroelektrik dan kini hidrogen,” jelasnya.
Beliau turut menggariskan beberapa langkah penting untuk memperkukuh pelaksanaan RMK-13 di Sarawak iaitu Peruntukan Adil yang sekurang-kurangnya 30 peratus daripada RM430 bilion peruntukan pembangunan nasional mesti diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.
“Selain itu, dana infrastruktur khas yang meliputi Lebuh Raya Pan Borneo, Trans Borneo, jambatan sungai besar, serta 100 peratus liputan internet berkelajuan tinggi di sekolah pedalaman menjelang 2030.
“Autonomi Fiskal seperti hasil minyak, gas, REE, dan karbon kredit mesti diagih dengan lebih adil, bukan sekadar royalti minimum serta Pelaburan Pendidikan dan Kesihatan yang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada bajet pendidikan dan kesihatan nasional (RM6.7 bilion dan RM4 bilion) untuk universiti teknikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), hospital pakar dan kemudahan luar bandar di Sarawak.
“Mekanisme MA63 Kukuh iaitu geran khas dan geran per kapita perlu dimaktubkan dalam undang-undang bukan hanya janji politik,” jelasnya.
Beliau turut menekankan beberapa bidang keutamaan Sarawak yang perlu diberi perhatian dalam RMK-13, termasuk memperkasa ekonomi desa dan keterjaminan makanan.
Katanya, Sarawak berpotensi muncul sebagai jelapang padi baharu negara sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang kini mencecah RM75 bilion setahun.
“Selain itu, pelaksanaan Special Tourism Investment Zone (STIZ) mesti memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat melalui program inap desa, penyediaan makanan tradisional serta penghasilan seni budaya masyarakat.
“Dari aspek keselamatan dan pertahanan, dicadangkan penubuhan pangkalan maritim tambahan di Bintulu dan Miri di samping penggunaan dron pintar bagi memperkukuh kawalan sempadan.
“Pada masa sama, isu sosial dan belia turut diberi perhatian termasuk tindakan tegas terhadap aktiviti judi haram, sokongan lebih menyeluruh terhadap kesihatan mental golongan belia serta perlindungan sosial kepada pekerja gig,” jelasnya.