PETRA JAYA: Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Speaker-Speaker SeMalaysia 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 13 September ini bertempat di Hotel Pullman.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Awang Asfia Awang Nassar berkata isu utama bagi persidangan tersebut adalah memperkasa institusi Speaker.
Katanya, para delegasi, termasuk Speaker Dewan Negara, Dewan Rakyat, serta Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri seluruh negara dijangka tiba di Kuching pada 11 September ini sebelum berangkat pulang pada 14 September.
“Sarawak pernah menjadi tuan rumah persidangan ini pada 1972, 1983, dan kali terakhir pada 27 September 1996, iaitu 28 tahun lalu. Kini, kita akan sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidamg media Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN SeMalaysia di DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 42 delegasi yang bakal menghadiri persidangan ini terdiri daripada 15 Speaker, 14 Timbalan Speaker, dan seorang Ketua Pentadbiran Parlimen dan 12 Setiausaha Dewan Negara, Dewan Rakyat dan DUN.
Objektif utama persidangan ini, menurut Awang Asfia, adalah untuk menyediakan platform bagi para Speaker bertukar pandangan dan pendapat mengenai isu-isu semasa dalam demokrasi berparlimen.
“Persidangan ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara Speaker, serta membincangkan cabaran dihadapi oleh institusi parlimen dan dewan undangan negeri,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiga kertas kerja utama akan dibentangkan sepanjang persidangan ini.
Katanya, kertas kerja pertama akan dibentangkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, akan membincangkan persoalan sama ada Dewan Negara adalah institusi ‘rubber stamp’: Kuasa Speaker Suatu Coretan.
“Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pula akan membentangkan mengenai pengukuhan demokrasi berparlimen melalui penglibatan awam yang progresif, manakala saya sendiri akan membentangkan kertas kerja ketiga yang akan menyentuh mengenai pindaan kepada peraturan mesyuarat DUN,” katanya.
Awang Asfia berkata, peranan Speaker dalam menjaga perlembagaan dan memastikan kelancaran proses demokrasi juga akan menjadi topik penting yang dibincangkan.
“Kedudukan Speaker mesti diperkukuhkan untuk mengelakkan kelemahan dalam institusi demokrasi parlimen,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa persidangan ini tidak akan membincangkan perkara berkaitan persempadanan semula DUN Sarawak.
“Perkara berkaitan persempadanan semula hanya akan dibincangkan di dalam persidangan DUN Sarawak,” ujarnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
Awang Asfia pada sidang media hari ini. Foto HERRIEY NAHA