
KUCHING: Sarawak sekali lagi memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam pembangunan lestari di rantau ini menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau (GMIS) 2025 yang dijadual berlangsung pada 8 dan 9 September 2025 di Hotel Imperial, Kuching.
Menurut Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri, sidang ini merupakan platform penting yang menyatukan pelbagai pihak dalam usaha melahirkan bakat dan kepakaran bagi sektor pengangkutan mampan, selaras dengan matlamat utama Visi BIMP-EAGA 2025.
“Kepentingan mengumpulkan pakar dan delegasi dalam bidang mobiliti hijau adalah untuk membangunkan bakat dalam pengangkutan mampan yang satu matlamat yang bukan sahaja penting untuk Sarawak, malah untuk seluruh rantau ini,” jelas beliau.
Sidang kemuncak yang bertemakan ‘Menerajui Masa Depan: Bakat, Inovasi & Kelestarian dalam Mobiliti Hijau’ itu dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) dan Sarawak Skills.
Acara ini dijangka menghimpunkan penggubal dasar, peneraju industri, ahli akademik dan inovator dari rantau Asia Tenggara serta negara-negara seperti United Kingdom, China dan Australia bagi membincangkan pendekatan dan teknologi terkini dalam mobiliti hijau serta merintis kerjasama serantau dalam agenda ekonomi hijau.
GMIS 2025 merupakan antara inisiatif strategik dalam menyokong pembangunan mampan dan kebolehubungan serantau yang digariskan di bawah BIMP-EAGA. Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan infrastruktur mesra alam, ketahanan iklim dan pelaksanaan inisiatif bandar pintar untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Antara topik utama yang bakal dibincangkan termasuklah Pembangunan Bakat melalui Pendidikan & Latihan, Teknologi Inovatif, Tadbir Urus, dan Kerjasama Global. Lebih 30 penceramah dan moderator terkemuka dijangka menyertai sidang ini.
Sidang ini turut seiring dengan strategi pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang mana ekonomi hijau dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan.
GMIS 2025 turut mendapat sokongan daripada Business Events Sarawak, Kempen Tribe Legacy Sarawak dan Sarawak More to Discover. Penganjur menjemput semua pihak untuk turut serta sebagai peserta, pempamer, penaja atau penceramah dalam menjayakan acara berprestij ini.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Linda John Tambie di talian 011-29929916 atau melalui e-mel linda@sarawakskills.edu.my, Flavian Jerry Francis di 013-8355675 atau flavian@sarawakskills.edu.my, atau e-mel rasmi sekretariat di gmis2025@sarawakskills.edu.my. Kunjungi laman web rasmi di gmis2025.my.