KUCHING: Terserlah dengan perpaduan kaum, menarik minat Kementerian Perpaduan memilih Bumi Kenyalang sebagai tuan rumah bagi sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan pada 20 Mei depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau amat berbesar hati kerana Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang telah memilih Sarawak untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan Minggu Perpaduan pada tahun ini.
“Sarawak adalah negeri yang boleh dijadikan contoh untuk perpaduan yang jitu melibatkan antara budaya, kaum dan mengekalkan kerjasama yang erat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak yang diketuai oleh Pengarah JPNIN Sarawak, Dirwana Azol di Bangunan Baitul Makmur, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, lokasi untuk majlis berkenaan belum dimuktamadkan.
“Bagi pemilihan lokasi, ia belum diputuskan lagi dan akan dipilih menerusi mesyuarat yang akan diadakan pada 6 April ini,” katanya, antara lain bagi menyemarakkan semangat masyarakat Madani, seperti yang diinspirasikan oleh Kerajaan Perpaduan majlis ini akan dirasmikan ooleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pada 12 Januari lalu berkata, program ini akan dijadikan acara tahunan dan harapan beliau adalah untuk menjadikannya salah satu program yang tersenarai dalam kalender pelancongan negara.
Beliau berkata, sambutan Minggu Perpaduan Negara adalah berlandaskan tema ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ekspresi kasih, persahabatan dan persaudaraan yang akan memperkukuhkan semangat kekeluargaan.
Selain itu, inisiatif itu dijangka turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain termasuk masyarakat majmuk.
Program yang dijadualkan berlangsung selama tujuh hari itu bakal dimulakan di Sarawak dan disusuli dengan negeri lain.
Kementerian Perpaduan pada tahun turut memberikan fokus yang berpaksikan kepada tiga teras utama Dasar Perpaduan Negara iaitu Patriostisme dan Demokrasi, Identiti Nasional dan Ekosistem Perpaduan.
Datuk Aaron Ago turut menyatakan bahawa kementeriannya akan memperkasa penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara bagi membina perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.
Oleh NUR AIN OTSMAN