BETONG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus berpegang kepada dasar politik perpaduan yang mengutamakan kepentingan semua kaum serta menolak amalan politik yang memecah-belahkan rakyat, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Presiden PBB berkata, kekuatan parti itu sejak penubuhannya adalah berasaskan prinsip keadilan, kestabilan dan kerjasama antara kaum, sekali gus menjadi tunjang kepada pembangunan Sarawak.
Menurutnya, PBB tidak pernah mengamalkan dasar yang meminggirkan mana-mana kaum, sebaliknya memberi peluang berdasarkan kebolehan dan keupayaan seseorang.
“Kita berjaya hingga hari ini kerana kita tidak berniat memecahkan kaum. Kita bekerjasama. Siapa yang berkebolehan, dialah yang diberi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong, hari ini.
Abang Johari berkata, pendekatan itu dapat dilihat menerusi pelantikan individu daripada pelbagai latar belakang kaum ke jawatan penting dalam pentadbiran negeri.
Beliau memberi contoh pelantikan Datuk Amar Jaul Samion sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak ketika beliau menjadi Ketua Menteri, yang menurutnya diterima kerana keadilan dalam menjalankan tanggungjawab walaupun berasal daripada komuniti Iban.
Beliau turut menyebut pelantikan Datuk Amar Wilson Baya Dandot daripada komuniti Bidayuh sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak ketika era Tun Abdul Taib Mahmud, yang menurutnya membuktikan kepercayaan diberikan berdasarkan kebolehan dan kemampuan, bukannya faktor kaum.
Pada masa sama, Abang Johari mengkritik budaya lompat parti yang menurutnya hanya menjejaskan kestabilan politik serta mengkhianati mandat rakyat.
Katanya, amalan sedemikian bukan budaya yang diamalkan PBB kerana parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan yang konsisten demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Politik cara lama yang suka melompat dari satu parti ke parti lain tidak membawa manfaat kepada rakyat. PBB mempunyai dasar yang jelas untuk semua kaum dan kita tidak mahu ada mana-mana rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
Beliau turut menegaskan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik atau kaum, termasuk di kawasan yang diwakili pembangkang.
Menurutnya, pendekatan inklusif itu menjadi antara faktor yang membolehkan Sarawak terus menikmati kestabilan politik sekali gus mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh ahli PBB terus mempertahankan semangat perpaduan serta menolak politik yang boleh menggugat keharmonian dan kestabilan yang telah dibina selama ini demi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan.
Oleh Afiq Sallehi



