KUCHING: Kerajaan Sarawak memutuskan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi serta perniagaan pada 4 Mei sehingga mengkaji implikasi yang akan ditanggung negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak belum bersedia untuk memberi kelonggaran di negeri ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.
“Kerajaan Negeri menghormati sepenuhnya pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengkaji sedalamnya implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi tersebut.
“Kajian itu merangkumi sektor yang akan dibuka, bila dan sejauh mana mereka akan dibenarkan untuk beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tegas Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah memutusan untuk mematuhi semua arahan untuk mengekalkan status quo dan semua arahan yang diumumkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1, 2 dan 3.
“Untuk tujuan ini, JPBNS bermaksud untuk membuat keputusan setelah mengkaji perubahan pada peraturan dalam Akta 342 sesuai dengan pengumuman oleh Perdana Menteri.
“JPBNS mesti memastikan pembukaan semula aktiviti dan sektor ekonomi sesuai dengan keadaan Sarawak.
“Dengan mengambil kira keadaan setempat Sarawak dari segi kes Covid-19, kemampuan logistik, keupayaan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografinya.
“JPBNS mendapati banyak standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif di negeri ini,” jelasnya.
Tambah Uggah, sehubungan itu Kerajaan Sarawak akan mengumumkan secara berperingkat pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti yang lain.
“Ini akan dilakukan setelah setiap perincian prosedur dan garis panduan operasi standard dikaji.
“Di samping itu, bagi mereka yang telah mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada PKP ke-4, mereka diperlukan untuk mendapatkan persetujuan Kerajaan Negeri melalui JPBNS agar permohonan mereka disemak sebelum mereka dibenarkan beroperasi,” tegasnya.
Terdahulu pada Jumaat, Perdana Menteri pada perutusan sempena sambutan Hari Pekerja mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei 2020.