Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak tetapkan ujian UP-DLP dilaksanakan setiap tahun
  • PENDIDIKAN

Sarawak tetapkan ujian UP-DLP dilaksanakan setiap tahun

Utusan Sarawak 2 days ago
TINJAU… Datuk Dr Annuar Rapa’ee diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Turkee semalam meninjau pelaksanaan peperiksaan UP-DLP di SK Kampung Jepak, Bintulu hari ini.

BINTULU: Kerajaan Sarawak menetapkan Ujian Penilaian Dual Language Programme (UP-DLP) akan dijalankan setiap tahun bagi menilai prestasi pelajar, sekolah serta tahap penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, pelaksanaan peperiksaan tersebut bukan sekadar inisiatif jangka pendek, sebaliknya menjadi penilaian wajib dalam sistem pendidikan negeri.

Menurutnya, keputusan peperiksaan berkenaan bukan sahaja akan dijadikan rujukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menilai Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), tetapi juga oleh kerajaan Sarawak untuk menilai keberkesanan pelaksanaan DLP serta mengenal pasti sekolah yang perlu dibantu.

MURID-murid Tahun Enam SK Kampung Jepak sedang menduduki peperiksaan UP-DLP.

Katanya lagi, keputusan UP-DLP turut menjadi asas bagi pemilihan pelajar ke Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) sebagai usaha melahirkan generasi pelajar cemerlang dan berdaya saing.

Dalam pada itu, Dr Annuar berkata pelaksanaan peperiksaan UP-DLP di kawasan pedalaman Sarawak berjalan dengan baik walaupun berdepan cabaran logistik yang luar biasa.

Beliau menjelaskan, cabaran terbesar dialami di sekolah kategori P3 di kawasan pedalaman apabila guru terpaksa membawa sendiri kertas soalan dari kawasan lain dan bermalam di sekolah bagi memastikan peperiksaan dapat dijalankan mengikut jadual.

“Alhamdulillah, sepanjang dua hari ini kita melihat perjalanan peperiksaan yang berjalan dengan begitu baik.

“Namun dari segi logistik, ia sememangnya satu cabaran besar, khususnya di sekolah rendah kategori P3 di kawasan pedalaman. 

“Ada guru (ketua pengawas) dari kawasan lain terpaksa bermalam di sekolah yang ditujui semasa menghantar kertqs soalan sebelum peperiksaan dijalankan.

“Itu merupakan antara cabaran paling besar dalam melaksanakan peperiksaan di sekolah rendah di Sarawak,” katanya selepas meninjau pelaksanaan peperiksaan UP-DLP di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak, Bintulu hari ini yang melibatkan seramai 196 murid Tahun Enam.

Ketika ditanya sama ada dapatan penilaian UP-DLP akan dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk dijadikan model di negeri lain, Dr Annuar menjelaskan perkara itu bergantung kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Itu terpulang lah kepada Kerajaan Persekutuan kerana kita hanya memikirkan untuk pelajar-pelajar di Sarawak. Kalau mereka hendak ikut, dipersilakan,” jelasnya.

Dr Annuar menegaskan, kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh pelaksanaan UP-DLP bagi memastikan pelajar luar bandar turut menikmati akses pendidikan berkualiti dan seimbang dengan keperluan semasa.

Oleh Carolyne Utih

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: STEM tunjang kemajuan Sarawak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan
Next: BBK 2025 Sarawak perkukuh bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.