MENARIK… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencuba menaiki vespa. Turut kelihatan dari kiri Speaker DUN Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar, Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Datuk Dr. Chai Khin Chung dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
KUCHING: Kabinet Sarawak telah membuat beberapa keputusan semalam berkaitan usaha menambahkan pendapatan untuk negeri ini.
Ini dinyatakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Gawai Raya Jabatan Premier Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
“Saya dan rakan-rakan minta maaflah lambat sedikit kerana tadi (pagi semalam) mesyuarat Kabinet dan kita telah membuat beberapa keputusan yang akan saya rasa memberi sedikit tambahan pendapatan kepada negeri Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, Abang Johari tidak menyatakan secara khusus perkara yang diluluskan Kabinet itu.
Sebaliknya, kata beliau, pihaknya bersyukur kerana sudah ada dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) yang akan membanwa Sarawak ke era yang lebih gemilang di tahun akan datang.
“Ini secara tidak langsung kita telah dapt mengenal pasti beberapa sektor yang harus kita perbaiki dan yang akan memberi pulangan kepada Sarawak dari sudut hasilnya.
“Kerjasama perkhidmatan awam dan pimpinan negeri sangatlah erat hingga ketika kita menghadapi pandemik yang mana kita dapat mengenal pasti hala tuju Sarawak selepas Covid-19 untuk memulihkan prestasi ekonomi kita,” katanya.
Justeru, kerjasama antara penjawat awam dan pemimpin kerajaan boleh membawa kepada keadaan yang lebih baik terutamanya daripada perspektif pembangunan ekonomi negeri ini ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Abang Johari yakin negeri ini akan menjadi sebuah negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
“Inilah harapan kita bersama berteraskan tema ‘begulai sejalai’ dan dalam semangat demikian hari ini kita nampak kita dalam satu keadaan yang begitu meriah dengan pakaian kita yang berlainan.
“Ada yang pakai baju kebangsaan, baju identiti Gawai dan saya pula baju (ala) barat tetapi ada topi (songkok).
“Inilah persekitaran etnik kita yang berbilang kaum dan ada juga yang pakai baju barat tetapi tidak ada topi macam Awang Tengah (Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan) dan ini menunjukkan bahawa kita sangat liberal.
“Pendekatan liberal ini akan mencipta kekayaan kepada budaya kita (memperkayakan budaya) dan apabila budaya kita kaya Insya-Allah…Sarawak pun akan menjadi negeri yang kaya,” katanya.
Beliau berharap pada tahun-tahun yang akan datang negeri ini akan sentiasa dalam keadaan aman makmur dan sejahtera dari tahun ke tahun akan berubah ke arah kemajuan.
Oleh JEAKQLEYN YACHO