Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak terus perkukuh pendidikan melalui inisiatif MEITD, selaras PCDS 2030
  • PENDIDIKAN

Sarawak terus perkukuh pendidikan melalui inisiatif MEITD, selaras PCDS 2030

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Francis Harden Hollis yang mewakili Dato Sri Roland Sagah Wee Inn melakukan Perasmian Karnival Bahasa Cina Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2025 sempena e-Mansang Anak Sarawak Ke-6 di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini. -Foto ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Walaupun pendidikan merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri, seiring dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata pihaknya bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan pelbagai pihak berkepentingan bagi menyokong pembelajaran pelajar, pembangunan profesional guru serta keseluruhan ekosistem pendidikan.

“Inisiatif yang dijalankan termasuk penambahbaikan infrastruktur sekolah, pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP Sarawak) untuk pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, penyediaan peranti digital seperti Raspberry Pi, serta pengukuhan pendidikan dalam bidang STEM dan TVET,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, semasa majlis Perasmian Karnival Bahasa Cina Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2025, sempena program e-Mansang Anak Sarawak Ke-6 di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.

Sagah menegaskan bahawa semua inisiatif ini adalah sejajar dengan visi PCDS 2030 yang menekankan akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira lokasi geografi pelajar.

“Kita ingin melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing, yang mampu memacu Sarawak ke arah wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.”

Beliau turut menggalakkan pelajar meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang disifatkan sebagai kunci kepada masa depan Sarawak dalam menghadapi cabaran ekonomi digital dan hijau.

“Dengan memilih STEM atau TVET, pelajar sedang mempersiapkan diri untuk membina Sarawak yang bijak, mampan dan penuh peluang,” ujarnya.

Menyentuh mengenai karnival bahasa tersebut, Sagah berkata program ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform untuk membina jati diri, budaya dan identiti pelajar.

“Aktiviti seperti khat dan deklamasi puisi membolehkan pelajar menzahirkan bakat, membina keyakinan serta mengukuhkan cinta terhadap bahasa ibunda dan warisan kesusasteraan,” tambahnya.

Beliau melahirkan rasa bangga dengan penglibatan hampir 600 peserta, guru dan ibu bapa dari seluruh Sarawak, yang menurutnya mencerminkan komitmen tinggi masyarakat dalam memelihara keindahan bahasa dan budaya Cina.

“Setiap puisi yang dideklamasikan, setiap kaligrafi yang dihasilkan menyumbang kepada pembangunan budaya dan memperkayakan masyarakat kita di Sarawak,” katanya.

Turut hadir wakil Pengarah JPNS, Dr Les Met, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin, wakil Residen Bahagian Sri Aman, Ramon Addy Mroon @ Ambrose, Temenggong Kueh Aik Seng, serta pegawai-pegawai kanan JPNS.

Oleh Adi Safarman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Guru wira sejati bentuk masa depan negara
Next: Pelajar cemerlang 10A SPM 2024 mohon Program Matrikulasi akan dapat tempat – KPM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.