
KOTA KINABALU: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen berterusan memperjuangkan hak dan perlindungan negeri di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk aspirasi satu pertiga perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali berkata, usaha memulihkan keseimbangan perlembagaan seperti yang dimaksudkan semasa pembentukan Malaysia terus dilaksanakan melalui saluran sah dan berperlembagaan, berlandaskan semangat MA63 serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Menurut beliau, secara sejarahnya, peruntukan satu pertiga perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak berfungsi sebagai mekanisme perlindungan institusi untuk memastikan penyertaan bermakna negeri-negeri Borneo dalam proses penggubalan undang-undang dan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Usaha ini dilaksanakan melalui libat urus berstruktur, pembinaan konsensus serta pematuhan sepenuhnya terhadap Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan IGC,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa perkara berkaitan MA63 telah mencatat kemajuan ketara, antaranya pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2025, sekali gus memulihkan autonomi kawal selia Sarawak dalam hal ehwal buruh.
Selain itu, pengkelasan semula Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan negeri turut memperkukuh peranan Sarawak dalam tadbir urus ekonomi negeri.
Bagaimanapun, Dato Sri Saferi berkata masih terdapat perkara yang belum dimuktamadkan, termasuk keperluan pewartaan Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Kerajaan Sarawak mengurus sisa terjadual.
“Perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak dan pelaksanaannya perlu dipercepatkan bagi membolehkan Sarawak mempunyai kawalan penuh terhadap pengurusan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil negeri di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, sambil menegaskan bahawa keputusan tersebut turut mengesahkan kewajipan Persekutuan terhadap Sarawak, tertakluk kepada semakan kehakiman.
Beliau berkata, di bawah Perkara 112D, Sarawak berhak kepada semakan kewangan secara berkala dan rundingan berterusan bagi mencapai kaedah yang adil dan telus.
“Kerajaan Sarawak telah mengemukakan satu formula kepada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan proses semakan kewangan ini. Sementara menunggu pemuktamadan formula tersebut, Geran Khas Interim telah dinaikkan kepada RM600 juta setahun bermula 2025,” katanya.
Tambah beliau, Sarawak akan terus berunding secara konstruktif dan berlandaskan niat baik, dengan harapan penyelesaian jangka panjang yang mampan dapat dicapai demi memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhan.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V. Murugeson dan tetamu kehormat lain.
-UKAS