
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian hari ini tampil memberikan penjelasan berhubung laporan media dan komen dalam talian berkaitan kenyataannya mengenai rakyat Sarawak yang bekerja di luar negara.
Dalam satu kenyataan media, beliau menegaskan bahawa kenyataannya sama sekali tidak bertujuan untuk menafikan, mengkritik atau merendahkan rakyat Sarawak yang memilih untuk membina kerjaya di luar negara.
Menurut beliau, Sarawak berbangga dengan setiap anak Sarawak yang telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa melalui usaha, dedikasi dan kebolehan mereka sendiri.
Dr Sim menjelaskan bahawa kenyataannya dibuat dalam konteks tahap pembangunan Sarawak ketika ini. Walaupun Sarawak telah melahirkan ramai bakat yang berjaya, beliau berkata tumpuan juga perlu diberikan kepada pembangunan dan pengekalan bakat untuk Sarawak sendiri memandangkan negeri ini sedang berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh.
Beliau berkata apabila bakat Sarawak mencari peluang di luar negara, ia tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan peribadi.
Sebaliknya, ia mencerminkan realiti bahawa Sarawak perlu terus mempertingkatkan kualiti peluang pekerjaan, laluan profesional dan persekitaran kehidupan bagi menyokong serta mengekalkan bakat.
Menurutnya, ini merupakan cabaran yang perlu ditangani oleh para pemimpin secara jujur dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Dr Sim berkata beliau secara konsisten menekankan, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kepentingan untuk melibatkan rakyat Sarawak di mana sahaja mereka berada, termasuk di luar negara sebagai rakan kongsi dalam pembangunan dan pembinaan negara Sarawak.
Beliau berkata Sarawak kini berada pada fasa transformasi yang kritikal dan memerlukan bakat, pengalaman, idea serta komitmen lebih daripada sebelumnya.
Katanya, kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh struktur ekonomi serta persekitaran kehidupan negeri ini bagi menggalakkan rakyat Sarawak yang berkemahiran terus kekal dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
Tidak kira di mana mereka berada, Dr Sim menegaskan bahawa Sarawak akan sentiasa menjadi tanah air mereka. Beliau berkata pencapaian dan pengalaman setiap anak Sarawak amat bernilai, dan semua pihak mempunyai peranan dalam menyumbang kepada usaha membina negeri ini secara bersama.
Oleh Connie Chieng