
KUCHING: Kejelasan dasar dan strategi yang disusun rapi di bawah teraju Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah berjaya mengangkat nama Sarawak ke persada dunia.
Keberkesanan tadbir urus ini bukan sahaja diiktiraf di peringkat antarabangsa, malah memberikan impak nyata kepada pembangunan di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menyifatkan transformasi yang berlaku sepanjang sembilan tahun kepimpinan Premier Sarawak sebagai bukti kebijaksanaan seorang pemimpin yang berpandangan jauh.
Menurutnya, kredibiliti Sarawak kini berada pada tahap yang sangat membanggakan dan segala pengiktirafan global yang diterima hari ini bukanlah kebetulan, sebaliknya hasil daripada perancangan yang teliti.
“Dasar yang jelas dan strategi yang disusun atur dengan cara yang terbaik telah menjadikan Sarawak kini dikenali di seluruh dunia.
“Ini semua adalah berkat kebijaksanaan Premier dalam mengurus Negeri Sarawak,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas menghadiri Program Sesi Dialog 9 Tahun Bersama Premier Sarawak yang berlangsung di Hikmah Exchange, di sini, semalam.
Program sesi dialog tersebut diadakan bersempena sambutan sembilan tahun kepimpinan Abang Johari mengetuai kerajaan Sarawak.
Mohamad Duri turut menekankan limpahan pembangunan yang dirasai oleh penduduk di luar bandar.
Beliau menegaskan bahawa rakyat kini dapat melihat sendiri perubahan fizikal dan sosioekonomi yang sedang berlaku, termasuk perluasan jaringan jalan raya dan jambatan, usaha membawa capaian internet ke kawasan pedalaman, serta projek-projek bekalan air dan elektrik yang terus diperkasa.
Menurutnya, pembangunan yang rancak di kawasan luar bandar adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan.
Bagi Mohamad Duri, majlis itu bukan sekadar sesi refleksi pencapaian masa lalu, tetapi juga jambatan antara pemimpin dan rakyat.
Program ini membuktikan komitmen jitu kerajaan Sarawak untuk terus mendengar suara rakyat dalam merangka dasar pembangunan yang inklusif dan mampan, menjamin manfaat untuk setiap lapisan masyarakat serta kelestarian ekonomi dan alam sekitar untuk generasi akan datang.
Melalui kepimpinan yang dinamik ini, ADUN Kalaka itu optimis bahawa Sarawak berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Oleh Adi Safarman