Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Sarawak teroka teknologi ‘Doktor AI’ perkukuh sektor kesihatan
  • KESIHATAN

Sarawak teroka teknologi ‘Doktor AI’ perkukuh sektor kesihatan

Utusan Sarawak 1 day ago
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian ketika ditemui media selepas program Swinburne’s SwinTalk ‘Masa Depan Digerakkan AI: Membayangkan Semula Belanjawan 2025 ke Arah Negara yang Lebih Pintar, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Sarawak bakal menjadi negeri pertama di luar China yang memperkenalkan teknologi ‘Doktor AI’, sebuah sistem konsultasi perubatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu membantu mengurangkan beban kerja tenaga perubatan di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata langkah tersebut dilihat sebagai inisiatif strategik untuk menangani kekurangan lebih 2,000 doktor yang kini dihadapi oleh sektor kesihatan negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menerima cenderamata sempena Program Swinburne’s SwinTalk di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, hari ini.

Menurut beliau, teknologi AI berupaya mengambil alih sebahagian tugasan asas dalam perkhidmatan kesihatan seperti diagnosis awal, semakan laporan perubatan dan konsultasi pesakit, sekali gus mempercepatkan proses rawatan serta meningkatkan kecekapan sistem sedia ada.

“Penggunaan teknologi ini boleh mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan pesakit, di samping mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia dalam sektor kesihatan,” katanya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian semasa sesi Program Swinburne’s SwinTalk di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Swinburne’s SwinTalk ‘Masa Depan Digerakkan AI: Membayangkan Semula Belanjawan 2025 ke Arah Negara yang Lebih Pintar’ di Universiti Teknologi Swinburne, hari ini.

Dr. Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan hasil kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan Integratif Fudan, dengan Miri dipilih sebagai lokasi pertama bagi pelaksanaan projek rintis di luar China.

Tambah beliau, dengan kemasukan teknologi ini, keperluan tenaga kerja manusia dapat disesuaikan secara berperingkat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Jika sebelum ini kita perlukan sekitar 2,500 doktor, dengan bantuan sistem AI mungkin cukup hanya 1,500 doktor untuk memastikan operasi berjalan lancar,” ujarnya.

Menurutnya, pelaburan dalam teknologi AI juga dapat mengurangkan kos operasi jangka panjang berbanding kaedah tradisional yang banyak bergantung kepada perbelanjaan sumber manusia dan kelengkapan perubatan.

Dr. Sim menambah, beliau akan meninjau sendiri keberkesanan teknologi itu di Miri hujung bulan ini bagi menilai tahap ketepatannya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian bergambar bersama peserta Program Swinburne’s SwinTalk di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, hari ini.

“Saya mahu lihat sendiri sejauh mana ‘kepintaran’ AI ini, sebab kadang-kadang pun AI tak begitu bijak,” katanya.

Beliau menegaskan, kemajuan teknologi AI yang dahulu hanya bersifat teori kini berkembang menjadi satu revolusi besar dalam bidang perubatan dan wajar dimanfaatkan oleh Sarawak sebagai negeri yang sentiasa mengutamakan inovasi dalam pembangunan rakyat.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Jurutera Australia cipta peranti bantuan jantung baharu untuk rawat kegagalan jantung
Next: Tiga kanser paling kerap dihidapi lelaki, boleh dicegah dengan pengesanan awal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.