
KOTA SAMARAHAN: Sarawak bakal memainkan peranan lebih aktif dalam menerajui pembangunan ekonomi hijau di peringkat global susulan pengiktirafan antarabangsa yang diterima Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg daripada Kerajaan Jepun.
Jepun baru-baru ini mengumumkan penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kepada Abang Johari sebagai mengiktiraf dasar serta inisiatif berterusan Sarawak dalam memperkasa tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi rendah karbon.
Beliau berkata, penghormatan berprestij itu bukan hanya kejayaan peribadi tetapi lambang kepada kejayaan dasar progresif Sarawak yang kini menjadi contoh kepada negara lain.
“Anugerah ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk Sarawak. Ia menggambarkan pengiktirafan dunia terhadap dasar tenaga dan pembangunan mampan yang dilaksanakan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sidang Ketiga Majlis Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pengiktirafan daripada Jepun yang merupakan sebuah negara maju dan berindustri tinggi memperkukuh keyakinan bahawa Sarawak berada pada landasan tepat dalam usaha meneroka teknologi baharu berasaskan tenaga hijau.
“Sarawak kini menumpukan pembangunan tenaga hidrogen dan sumber boleh diperbaharui lain, di mana Jepun kekal sebagai rakan strategik utama dalam memperkukuh kerjasama teknologi hijau,” ujarnya.
Tambahnya, pengiktirafan itu juga membuktikan dasar rendah karbon atau low carbon footprint yang diterajui Sarawak semakin mendapat perhatian antarabangsa dan membuka lebih banyak ruang untuk kolaborasi global.
“Pengiktirafan daripada sebuah negara berindustri dan berteknologi tinggi seperti Jepun akan mengukuhkan lagi peranan Sarawak dalam meneroka teknologi baharu yang menjadi pemacu utama ekonomi masa depan,” jelasnya.
Oleh Amanda L