Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak terima penerbangan sulung Guangzhou–Kuching, perkukuh hubungan antarabangsa
  • TEMPATAN

Sarawak terima penerbangan sulung Guangzhou–Kuching, perkukuh hubungan antarabangsa

Utusan Sarawak 9 hours ago
KETIBAAN penerbangan sulung kapal terbang Batik Air dari Guangzhou ke Kuching pagi tadi. Foto Norman B

KUCHING: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan penerbangan antarabangsa apabila menerima ketibaan penerbangan sulung dari Guangzhou ke Kuching pagi tadi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Harry Jinep berkata, penerbangan tersebut membawa sekitar 145 penumpang dengan kadar muatan hampir penuh, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap laluan baharu itu.

“Penerbangan ini mengambil masa hanya tiga jam 45 minit, menjadikannya antara laluan yang singkat dan efisien. Keadaan cuaca yang baik turut memastikan pendaratan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.

Menurut beliau, pembukaan laluan terus itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada sektor pelancongan dan perniagaan, selain mengukuhkan hubungan antara Sarawak dan China.

KENANGAN…Datuk Henry Harry Jinep dan tetamu yang lain merakam gambar kenangan ketika ketibaan kapal terbang Batik Air dari Guangzhou ke Kuching pagi tadi. Foto Norman B

Dalam pada itu, Henry yang mewakili Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin memuji usaha berterusan kementerian serta agensi berkaitan dalam merealisasikan penerbangan terus tersebut.

“Kredit harus diberikan kepada beliau yang tidak henti-henti mempromosikan Sarawak dan membawa masuk lebih banyak penerbangan terus dari rantau Asia,” ujarnya.

Beliau turut optimis langkah ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi tumpuan kepada sektor aeroangkasa, tenaga hijau dan ekonomi digital, sekali gus menarik lebih ramai pelabur serta pelawat antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan, Mohamad Lotfi Tuah menjelaskan bahawa usaha menambah destinasi baharu sedang giat dijalankan, namun perlu melalui pelbagai proses pematuhan dan rundingan antarabangsa.

“Industri penerbangan adalah sektor yang dikawal selia dengan ketat, jadi setiap laluan baharu memerlukan masa dan perancangan rapi sebelum dapat direalisasikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Henry berkata syarikat penerbangan baharu seperti AirBorneo masih dalam proses membina reputasi di peringkat antarabangsa, justeru memerlukan masa untuk mendapatkan kelulusan laluan ke destinasi luar.

SELAMAT DATANG…Datuk Henry Harry Jinep bersama tetamu kehormat yang lain menyambut para penumpang dari Guangzhou ke Kuching pagi tadi. Foto Norman B

Namun demikian, beliau menegaskan kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan lain termasuk Batik Air, AirAsia dan Malaysia Airlines bagi memastikan penambahan kekerapan penerbangan, terutama menjelang musim perayaan.

“Musim perayaan seperti Hari Raya dan Gawai menyaksikan peningkatan ketara jumlah penumpang, jadi kita pastikan penerbangan mencukupi untuk kemudahan rakyat,” jelasnya.

SIDANG MEDIA…Datuk Henry Harry Jinep ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. Foto Norman B

Tambah beliau, peningkatan penerbangan bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang industri sokongan di Sarawak.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Tugu kucing ikon Padungan berseri sambut Ramadan dan Aidilfitri
Next: Polis Sarawak lancar Op Selamat 2026 sempena Aidilfitri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.