
LONDON: Sarawak terus mencuri tumpuan di pentas pelancongan antarabangsa apabila meraih dua pengiktirafan sempena penganjuran World Travel Market (WTM) London 2025, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan alam semula jadi.
Sarawak menerima Anugerah Best Stand Feature pada WTM Best Stand Awards 2025 menerusi pemasangan LED Arch di Pavilion Sarawak yang menampilkan paparan visual dinamik bertemakan keindahan semula jadi negeri ini.
Rekaan tersebut menonjolkan siri paparan video mengenai Puncak Batu Mulu, Air Terjun Tiga Beradik di Long San, Baram, dan Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti, yang digabungkan dalam persembahan visual yang menarik dan mendidik.
Para juri memuji paparan tersebut sebagai “menarik perhatian” serta menonjolkan penggunaan elemen audio visual yang berkesan dalam memperkenalkan landskap semula jadi Sarawak kepada pengunjung antarabangsa.
WTM London 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 6 November, merupakan antara pasaran pelancongan terbesar dunia dengan penyertaan sekitar 5,000 pempamer dari 180 negara dan wilayah.
Penyertaan Sarawak diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri serta rakan industri, melibatkan 15 pempamer bersama yang mempromosikan keunikan produk pelancongan Sarawak di pentas global.

Selain itu, Sarawak turut disenaraikan antara 10 Wilayah Paling Diingini (Worldwide) pada Wanderlust Reader Travel Awards 2025.
Pengiktirafan tersebut disampaikan di Pavilion Sarawak (N10-400), mencerminkan minat berterusan pelancong terhadap destinasi yang mengekalkan keaslian budaya dan keindahan alam semula jadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, pengiktirafan itu memberi semangat kepada kami untuk terus memperhalusi cara kami mempersembahkan Sarawak di peringkat antarabangsa.
“WTM London merupakan platform penting untuk kami berkongsi kisah Sarawak bersama rakan industri, media, dan pelawat, dan kami amat berterima kasih atas sambutan positif yang diterima,” katanya
Kedua-dua pengiktirafan itu melengkapi penglibatan lebih meluas Sarawak di WTM London 2025 yang turut menampilkan persembahan kebudayaan, sesi interaksi perdagangan dan media, serta pelancaran video ‘Sarawak Welcomes You’ dan pakej Borneo UNESCO Sites.
Usaha tersebut seiring dengan komitmen Sarawak menyokong persiapan Visit Malaysia 2026, berteraskan kelestarian, pemerkasaan komuniti dan lima tonggak utama pelancongan negeri iaitu Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Perayaan (CANFF).
Dengan pengiktirafan tersebut, Sarawak terus melangkah kukuh dalam memposisikan dirinya sebagai ‘Gateway to Borneo’, melalui pendekatan penceritaan yang tulen, kreatif dan bertanggungjawab di mata dunia.