SEMOGA BERJAYA… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama ‘orang kuat’ bagi pelaksanaan Konsert Queen Tribute merakamkan gambar kenangan selepas sidang media.
KUCHING: Sarawak menerima 439,150 ketibaan pelawat sehingga Mei tahun ini.
Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Queen Tribute Concert in Kuching and Official Launch of Music Must Go on Front Row Music Aid di Kubu Room, Hotel Waterfront, di sini, semalam.
“Baru-baru ini saya nyatakan kita menjangkakan 1.2 juta ketibaan pelawat tahun ini yang akan menjana sekitar RM3.2 bilion dalam resit pelancongan dan setakat ini, kita telah menerima 439,150 ketibaan pelawat sehingga Mei.
“Sarawak mempunyai banyak untuk ditawarkan dalam pelancongan dan kementerian telah bekerja keras dalam mempromosikan Sarawak selama bertahun-tahun dan hasilnya, kita (Sarawak) telah menjadi salah satu tempat yang paling popular untuk pelancong di seluruh dunia,” katanya
Menjelas mengenai konsert tersebut, Karim berkata acara hiburan secara langsung yang dianjurkan oleh Front Row Entertainment Sdn Bhd tersebut adalah acara yang ditunggu-tunggu setelah dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.
Ujarnya, Sarawak sentiasa terkenal dalam bidang eko-pelancongan, makanan, pengembaraan, budaya, hidupan liar dan sebagainya namun pelancongan muzik sentiasa menjadi tarikan utama dalam menyokong matlamat kementerian menjadikan Sarawak destinasi utama di rantau ini.
“Pelancongan Muzik, yang merupakan tindakan melawat bandar atau pekan, untuk melihat festival muzik atau persembahan muzik menjadi salah satu strategi yang paling berjaya untuk pelancongan Sarawak.
“Pelancongan Muzik amat penting kepada negeri seperti Kuching untuk mendapat pengiktirafan di seluruh dunia, setanding dengan kampung seperti Gastonbury, England, atau bandar yang lebih besar seperti New Orleans Jazz dan Festival Warisan di Louisiana, Amerika Syarikat atau Notting Hill Carnival di UK,” katanya yang memetik Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Festival Borneo Jazz sebagai contoh pelancongan muzik.
Tambahnya lagi, sebahagian daripada jumlah jualan tiket dari konsert tersebut akan diperuntukkan bagi membantu komuniti muzik menerusi ‘Front Row Music Aid movement – Music Must Go On’.
Turut hadir semasa sidang media tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Pengarah Urusan Front Row Entertainment Sdn Bhd, Sharifah Ameerah Alsree, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TV Sarawak, Rizal Zulkapli dan tetamu kehormat yang lain.
Oleh RYNNA SHA’ERRA