
KUCHING: Sarawak memainkan peranan strategik dalam menentukan hala tuju perubahan iklim Malaysia, susulan kedudukannya sebagai negeri yang memiliki hutan luas, biodiversiti kaya serta landskap dengan kandungan karbon yang tinggi.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, faktor tersebut meletakkan Sarawak di tengah-tengah naratif iklim negara yang bukan sekadar sebagai sebahagian daripada profil pelepasan karbon, tetapi sebagai komponen utama penyelesaiannya.
“Bagi Sarawak dan Sabah yang dikurniakan hutan luas, biodiversiti yang kaya serta landskap dengan kandungan karbon yang tinggi, kedua-dua wilayah ini berada di tengah-tengah naratif iklim Malaysia.
“Kita bukan hanya sebahagian daripada cabaran, tetapi kita adalah teras kepada penyelesaiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Peringkat Subnasional (CCIA) di sini, hari ini.
Tambah beliau, cara Sarawak mentadbir tanah, mengurus sumber semula jadi dan melaksanakan pembangunan akan memberi kesan langsung terhadap pencapaian komitmen iklim negara.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Sarawak mempunyai bidang kuasa signifikan dalam hal ehwal tanah, perhutanan dan sumber asli yang merupakan satu kedudukan yang menjadikan peranan negeri amat penting dalam seni bina tadbir urus iklim Malaysia.

“Ini bukan soal sempadan kuasa, tetapi bagaimana kita membina jambatan kerjasama supaya aspirasi Persekutuan dan pelaksanaan di peringkat negeri saling memperkukuh,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan iklim bukan agenda sampingan, sebaliknya telah diarusperdanakan dalam strategi pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pertumbuhan ekonomi seiring kelestarian alam sekitar dan daya tahan jangka panjang.
“Hutan Sarawak bukan sahaja khazanah biodiversiti, malah aset iklim yang mempunyai kepentingan global, justeru memerlukan tadbir urus institusi yang jelas, telus dan berwibawa.
“Laporan CCIA yang dilancarkan ini, menyediakan peta jalan untuk memperkukuh institusi iklim di peringkat negeri agar tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu, berkesan dan mampan,” ujarnya.
Pelaksanaan kajian tersebut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Bank Dunia serta agensi Persekutuan dan negeri.
Oleh Masrin Affirah