Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak terajui reformasi perundangan, perkukuh tadbir urus negeri
  • SEMASA

Sarawak terajui reformasi perundangan, perkukuh tadbir urus negeri

Utusan Sarawak 4 hours ago
PEGUAM Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini. Foto UKAS

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 2025 telah meluluskan beberapa undang-undang penting yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan lestari, tadbir urus yang baik serta pembaharuan institusi.

Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali berkata, penggubalan undang-undang tersebut merupakan langkah strategik bagi memastikan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan melalui rangka perundangan yang kukuh dan berdaya tahan.

Menurut beliau, antara undang-undang utama yang telah diluluskan termasuk Ordinan Kanun Tanah (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh tadbir urus tanah dan memperkemas mekanisme pengurusan serta pematuhan perundangan berkaitan.

“Langkah ini bukan sahaja menyokong agenda pembangunan lestari Sarawak, malah memperkukuh kedudukan negeri sebagai peneraju nasional dalam perundangan hijau dan tadbir urus progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

PEGUAM Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini. Foto UKAS

Sementara itu jelasnya, Ordinan Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025 turut diluluskan bagi memperkasakan perlindungan biodiversiti negeri serta menyokong penyelidikan dan pemeliharaan sumber biologi secara mampan.

Beliau menambah, pindaan terhadap Perlembagaan Sarawak melalui Ordinan Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025 pula mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh struktur institusi serta keupayaan tadbir urus selaras dengan keperluan semasa.

Dalam aspek pembangunan fizikal dan alam sekitar, Sarawak turut mencatat sejarah apabila meluluskan Ordinan Bangunan (Pindaan) 2025 yang memperkenalkan piawaian bangunan hijau serta keperluan pematuhan kemampanan.

Ia sekali gus meletakkan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang mempunyai rangka perundangan berkanun berkaitan bangunan hijau dan pensijilan.

Melengkapi usaha tersebut, Ordinan Sumber Lestari dan Pengurusan Sisa 2025 diwujudkan bagi menubuhkan satu pihak berkuasa berpusat untuk mengawal selia pengurusan sumber dan sisa secara mampan, selaras dengan pendekatan ekonomi kitaran yang mengimbangi perlindungan alam sekitar dan penciptaan nilai ekonomi.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V. Murugeson, Presiden Mahkamah Rayuan, Dato’ Abu Bakar Jais, Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Mohd Dusuki bin Mokhtar, Ketua Hakim Malaya, Dato’ Hashim Hamzah, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi serta Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.

-UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Pemuda PRS gesa PDA 1974 dibahas di DUN Sarawak demi kejelasan tadbir urus minyak, gas
Next: Sarawak terus perjuang hak MA63, tegaskan komitmen Perlembagaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.