
LONDON: Sarawak bersedia memainkan peranan penting dalam membentuk rangkaian tenaga serantau ASEAN menerusi sambungan bekalan kuasa ke Brunei, Sabah dan Kalimantan selain meneroka potensi sambungan ke Selatan Filipina.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain memiliki lebihan bekalan tenaga, Sarawak juga memiliki pegangan 35 peratus dalam usaha sama tenaga di Indonesia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pembekal tenaga bersih rantau ini.
“Teras kepada sebarang pembangunan adalah tenaga dan air. Kita di sini juga untuk mengenal pasti rakan teknologi dalam usaha menambah baik sektor tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Sarawak Connects 2025 di London, United Kingdom pada Jumaat waktu tempatan.
Dalam soal penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), Abang Johari menjelaskan, Sarawak telah meluluskan undang-undang pengurangan pelepasan gas rumah hijau, menjadikannya negeri pertama di Malaysia yang menyediakan kerangka perundangan tersebut.
“Kita gunakan hutan dan hutan paya bakau sebagai kawasan penyerap karbon, dan turut meneroka kawasan luar pesisir yang ditinggalkan untuk penyimpanan karbon.
“Kita teliti model Scotland-United Kingdom untuk pengagihan kuasa dan hasil levi karbon antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Mengenai sumber asli seperti gas dan logam nadir bumi, Abang Johari menegaskan keperluan membangunkan nilai tambah secara tempatan dan tidak hanya mengeksport bahan mentah.
“Kita mahu kerjasama strategik dengan pelabur dari Korea, Jepun, China, dan kini membuka ruang kepada pelabur Eropah untuk mengimbangi peta pelaburan global,” katanya.
Sarawak kini turut meninjau potensi teknologi kitaran gabungan gas dan hidrogen atau dikenali ‘hydrogen ready’ sebagai sumber tenaga hibrid untuk menjamin masa depan tenaga bersih dan mampan di rantau ini.
Dalam dialog sama, Abang Johari menjelaskan rancangan negeri itu untuk memperluas agenda bandar pintar dan pengangkutan awam berasaskan hidrogen, termasuk pelaksanaan standard bangunan hijau, sejajar usaha mengekalkan kelestarian bandar raya.
Beliau turut menyatakan kesediaan Sarawak untuk bekerjasama dengan pelabur asing dalam sektor tenaga, termasuk teknologi kitaran gabungan gas dan loji janakuasa sedia hidrogen.
Dalam sektor pertanian pula, beliau menyatakan hasrat mentransformasikan industri melalui teknologi dan mekanisasi dengan kerjasama institusi pendidikan tinggi seperti Cambridge dan London School of Economics and Political Science (LSE) bagi membentuk modal insan yang mahir.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak. – UKAS